Pernah tak terfikir apa sebenarnya perbezaan antara bata merah (bata tanah liat) dengan bata simen (bata konkrit)? Boleh jadi anda nak buat rumah baru atau mahu renovate rumah lama dan tukang buat rumah berikan pilihan kepada anda sama ada hendak gunakan bata merah atau bata simen.
Mungkin anda sudah tahu bahawa bata simen lebih murah dari bata merah tetapi apa sebenarnya perbezaan antara kedua-dua bata ini? Kalau di Malaysia, yang mana satu yang kita patut pilih? Apa kelebihan dan kekurangan masing-masing? Adakah ianya berbaloi untuk kita pilih bata merah yang berharga lebih mahal?
Penulisan kali ini akan lihat tentang perbezaan antara bata merah dengan bata simen dan memberi gambar jelas kepada anda untuk buat pilihan yang tepat
1. Apa Itu Bata Merah?
Bata merah juga boleh lebih dikenali dengan nama bata tanah liat. Bata merah diperbuat dari campuran tanah liat dan air. Pada mulanya, bata merah akan berwarna seperti warna tanah liat iaitu warna coklat. Kemudian, bata merah akan dibakar pada suhu 1000 darjah Celsius.
Ketika proses pembakaran, tukang bata perlu pastikan bata yang dibakar perlu berada pada suhu yang sepatutnya. Jika tidak dijaga, berkemungkinan bata tersebut akan retak. Proses pembakaran bata menyebabkan warna bata bertukar dari coklat kepada merah.
2. Apa Itu Bata Simen
Bata simen juga boleh lebih dikenali dengan nama bata konkrit. Bata simen diperbuat dari campuran simen, pasir, batu dan air. Kemudian, bata tersebut akan dijemur kering sehingga menjadi keras
Bata simen biasanya berwarna kelabu dan banyak digunakan dalam industri pembinaan disebabkan harganya yang lebih murah. Bata simen juga sangat mudah didapati dikedai-kedai yang menjual batu-bata kerana proses pembuatannya yang lebih mudah.
3. Kelebihan Dan Kekurangan Antara Bata Merah Dengan Bata Simen
Bata Merah | Bata Simen | |
---|---|---|
Kekuatan Mampatan | Kuat | Sangat Kuat |
Penebat Bunyi | Sangat Baik | Kurang Baik |
Keupayaan Kalis Air | Kurang Baik | Baik |
Kawalan Haba Dalam Rumah | Sangat Baik | Kurang Baik |
Daya Tarikan Estetik | Menarik | Tidak Menarik |
Kekuatan Mampatan
Kekuatan mampatan ialah sifat fizikal bahan binaan untuk menahan tekanan. Umumnya, bata simen mempunyai kekuatan mampatan yang lebih tinggi berbanding bata merah. Bata simen lebih tinggi kekuatan mampatan kerana campuran bahan yang digunakan itu lebih baik tetapi itu tidak bermakna bata merah ini lemah.
Ini menyebabkan bata simen banyak digunakan dalam industri pembinaan bangunan yang tinggi kerana bangunan yang tinggi memerlukan bata yang mempunyai kekuatan mampatan yang tinggi. Bata merah pula sesuai untuk pembinaan yang tidak memerlukan kekuatana mampatan yang tinggi seperti pembinaan pagar atau rumah satu tingkat sahaja.
Penebat Bunyi
Jika diikutkan, bata merah lebih berat dan padat berbanding bata simen. Ini menyebabkan bata merah sangat sesuai untuk dijadikan bahan penebat bunyi. Dari segi sains, bunyi bergerak melalui getaran, jadi dengan bahan yang lebih padat seperti tanah liat, hanya sedikit sahaja getaran bunyi yang akan menembusi dinding bata merah.
Bata simen pula kurang berat dan kurang padat berbanding bata merah. Ini menyebabkan banyak getaran bunyi akan menembusi dinding bata simen dengan mudah.
Keupayaan Kalis Air
Bata simen mempunyai keupayaan kalis air yang sangat baik. Keupayaan ini sangat berguna apabila pembinaan sedang dijalankan dalam persekitaran yang lembap dan berlumpur. Ini menyebabkan kebanyakan kontraktor lebih suka menggunakan bata konkrit berbanding bata merah.
Bata merah pula mempunyai keupayaan kalis air yang lemah. Apabila terdedah kepada persekitaran yang lembap atau berlumpur, bata merah akan mudah rosak, yang akan menyebabkan pertumbuhan kulat.
Kawalan Haba Dalam Rumah
Bata merah pula mempunyai kawalan haba yang sangat kuat kerana sifatnya yang padat. Ini menyebabkan ia dapat memerangkap dan membebaskan haba dengan mudah. Dengan kata lain, bata merah merupakan pilihan yang baik bagi mereka yang ingin bina rumah dikawasan yang sangat panas.
Bata simen mempunyai kawalan haba yang sangat lemah. Apabila terdedah kepada cahaya matahari, bata simen akan menyerap haba dengan cepat dan melepaskan haba dengan perlahan. Ini bermakna rumah anda akan menjadi panas waktu siang hari dan masih akan merasakan sedikit haba pada malam hari . Ia juga meningkatkan kadar elektrik dirumah kerana anda perlu menghidupkan penghawa dingin atau kipas untuk menyejukkan rumah.
Daya Tarikan Estetik
Sudah tentu bata merah mempunyai daya tarikan estetik yang lebih cantik. Binaan yang menggunakan bata merah sangat menarik perhatian dan menyerlahkan lagi pemandangan. Ini merupakan sebab kenapa ramai pemilik rumah masih memilih bata merah untuk dijadikan salah satu bahan binaan.
4. Yang Mana Satu Patut Anda Pilih?
Pemaju atau kontraktor biasanya akan melihat jenis pembinaan dan keperluan projek apabila membuat keputusan untuk pilih sama ada bata merah atau bata simen. Kebanyakan pemaju atau kontraktor lebih memilih batu simen kerana sifatnya yang lebih kukuh dan harganya yang lebih murah.
Apabila membina bangunan yang tinggi dan bertingkat-tingkat, bata simen merupakan pilihan utama. Ini kerana struktur bangunan tinggi memerlukan kekuatan konkrit yang tinggi dan asas yang kukuh. Jika anda ingin membina rumah dua tingkat, bata merah masih boleh digunakan untuk sebagai bahan binaan utama.
Jenis bata yang anda pilih akan bergantung pada keperluan dan keperluan pengubahsuaian rumah anda. Untuk membantu anda membuat keputusan, berikut ialah beberapa faktor yang perlu diambil kira semasa memilih bahan bata.
- Kemudahan untuk mendapatkan bata
- Kos bata
- Keperluan struktur binaa
- Jenis dinding dan aplikasi
- Kuantiti yang diperlukan dan produktiviti
- Reka bentuk rumah
- Nilai estetik
Jika anda merancang untuk melakukan pengubahsuaian rumah atau bina rumah atas tanah sendiri dan tidak pasti tentang pilihan yang perlu anda lakukan, boleh rujuk kepada mereka yang berkemahiran dalam industri ini,
5. Berapa Lama Bata Merah & Bata Simen Akan Bertahan?
Batu-bata, sama ada merah atau simen - dibina untuk tahan dalam masa jangka lama. Menurut kepada International Association of Certified Home Inspectors (IACHI), jangka hayat batu-bata adalah lebih daripada 100 tahun.
Rumusan
Secara umumnya, buatlah pilihan bata yang betul kerana benda tersebut akan digunakan dalam suatu jangka masa yang lama. Jika berniat hendak buat rumah dan ada modal lebih, pilihlah bata merah. Jika modal hanya sedikit atau hanya untuk bina benda lain selain dari rumah, pilih sahaja bata simen. Yang penting, biarlah kita berpuas hati dengan pilihan kita.
Itu sahaja dari saya untuk penulisan kali ini. Jika ada apa - apa persoalan, boleh komen dibawah. Saya akan cuba jawab soalan - soalan yang diberikan dengan sebaik mungkin. Sekian, terima kasih.
Tags
Tips & Perkongsian