Semakin meningkat usia kita, semakin banyak pengalaman yang akan ditimba. Tak kira sama ada pengalaman tersebut akan memberi kebaikan atau pengajaran kepada kita semua. Pada hari ini, saya nak ceritakan tentang pengalaman saya ditipu dengan satu scam pelaburan yang dinamakan MyRezki. Saya harap semua pembaca dapat ambil iktibar dari cerita saya ini dan sentiasa tanam dalam fikiran bahawa tiada jalan mudah untuk cepat kaya atau there is no such thing as easy money. Kalau ikutkan, ini merupakan kali pertama dalam hidup saya kena scam dan harapnya kali terakhir.
Ceritanya bermula waktu cuti semester pertama ketika saya sedang belajar di UiTM Machang (Diploma). Cuti semester tersebut agak panjang iaitu selama 8 bulan kerana pihak UiTM ingin selaraskan waktu pembelajaran Diploma dan Ijazah supaya mengikut waktu pembelajaran Ijazah. Sebelum ini, semester pelajar Diploma bermula pada bulan Jun dan Disember manakala semester pelajar Ijazah pula bermula pada September dan Mac.
Mesej Iklan Tentang Pelaburan MyRezki Di Aplikasi Whatsapp
Pada cuti semester tersebut, saya habiskan masa saya dengan bekerja pada satu syarikat pembinaan sebagai pembuat papan tanda iklan dan papan tanda jalan. Jadi, waktu siang dihabiskan dengan bekerja dan waktu malam untuk berehat. Suatu hari, ada seorang pelajar lelaki telah post satu chat dalam group Whatsapp untuk kolej pelajar lelaki tentang satu pelaburan yang dinamakan sebagai MyRzeki. Untuk pengetahuan, MyRezki dan MyRezeki (kini dinamakan sebagai e-Rezeki) merupakan dua perkara berbeza kerana MyRezki adalah pelaburan scam manakala MyRezeki pula merupakan suatu program dibawah MDEC. Pada mulanya, saya hanya abaikan sahaja chat tersebut tetapi disebabkan pelajar lelaki tersebut sering post chat tentang pelaburan MyRezki, saya jadi rasa ingin tahu dan terus DM pelajar tersebut dan minta dia terangkan.
Modus Operasi Pelaburan MyRezki
Menurut kepada pelajar tersebut, pelaburan MyRezki dapat memberi pulangan sehingga 5 angka atau lebih dari RM10,000 dengan hanya bermodalkan sedikit wang sahaja. Bila saya tahu bahawa pulangan pelaburan tersebut amat tinggi, saya merasa sangat teruja tetapi saya kawal perasaan saya dan minta dia terangkan dengan lebih lanjut. Secara ringkasnya, modus operasi pelaburan MyRezki ada empat bahagian berlainan.
Bahagian Pertama : Pakej Asas (Basic Package)
Pakej Asas merupakan pakej yang akan diterima selepas kita membuat pembayaran sebanyak RM30.00 sebagai syarat pendaftaran. Selepas kita sudah membuat pembayaran sebanyak RM30.00, mereka akan buka akaun pelaburan (kononnya) tersebut untuk kita dan akan menghantar username, password serta link untuk login akaun pelaburan kita melalui email. Pada akaun tersebut, akan terpampang jumlah pelaburan kita serta status kita iaitu Pakej Asas. Bagi Pakej Asas, pelan pelaburan adalah seperti jadual dibawah.
1) Level : Level merupakan jumlah bulan yang kita telah labur dibawah pelaburan MyRezki. Sebagai contoh, jika saya mendaftar pelaburan tersebut pada bulan Januari tahun 2022, maka saya akan berada pada Level 1 pada bulan Januari tahun 2022 walaupun saya mendaftar pada tarikh 31 Januari 2022. Pada bulan Februari tahun 2022, saya akan naik kepada Level 2 sekiranya saya peram sahaja pelaburan saya tanpa keluarkan walau sedikitpun pelaburan saya. Level terakhir adalah Level 6 dan selepas tamat sahaja Level 6, saya boleh keluarkan semua pelaburan saya.
2) AutoPlacement : AutoPlacement merupakan jumlah saham yang kita miliki di dalam setiap Level. Pada Level 1, kita akan diberikan 5 unit saham. Kemudian, sekiranya kita naik kepada Level 2, jumlah saham kita pada Level 2 adalah sebanyak 25 unit. Jika kita naik lagi kepada Level 3, jumlah saham kita pada Level 3 adalah sebanyak 125 unit.
3) Bonus : Bonus merupakan harga saham bagi setiap unit dan kadaran bonus adalah tetap kecuali jika kita upgrade dari Pakej Asas kepada Pakej Premium. Jadi, dengan kata lain, harga saham bagi setiap unit yang kita miliki adalah sebanyak RM1.00 sahaja pada Pakej Asas.
4) Total : Total merupakan jumlah pelaburan kita bagi setiap level. Secara mudahnya, jumlah pelaburan kita pada setiap Level adalah seperti berikut.
5) Final Total : Final Total merupakan jumlah besar pelaburan setelah kita tambahkan semua jumlah Total dari setiap Level yang kita sudah perolehi. Secara mudahnya, Final Total yang kita akan miliki adalah seperti berikut.
Bahagian Kedua : Pakej Premium (Premium Package)
Pakej Premium merupakan pakej yang lebih tinggi dari Pakej Asas. Untuk menyertai Pakej Premium, kita perlu mengajak seramai 12 orang dibawah kita untuk sertai pelaburan MyRezki dibawah Pakej Asas. Setelah itu, pelaburan kita akan dinaik taraf dari Pakej Asas kepada Pakej Premium. Bagi Pakej Premium, pelan pelaburan adalah seperti jadual dibawah.
Secara dasar, pengiraan dan struktur pelaburan bagi Pakej Premium adalah sama dengan Pakej Asas. Cuma ada tiga perbezaan sahaja dan Pakej Premium memberikan pulangan yang lebih tinggi berbanding Pakej Asas.
1) Level : Level terakhir pada Pakej Premium adalah sehingga Level 8 berbanding dengan Pakej Asas yang hanya sampai kepada Level 6 sahaja.
2) AutoPlacement : Jumlah saham yang kita miliki pada permulaan iaitu Level 1 hanyalah sebanyak 3 unit saham sahaja pada Pakej Premium.
3) Bonus : Harga saham bagi setiap unit adalah sebanyak RM5.00 pada Pakej Premium.
Selain dari itu, kiraan pelaburan Pakej Premium adalah sama dengan Pakej Asas tetapi Pakej Premium memberikan pulangan yang lebih tinggi dalam jangka waktu yang lebih lama berikutan bilangan Level serta harga saham bagi setiap unit yang lebih tinggi.
Bahagian Ketiga : Bonus Tajaan (Invitation Bonus)
Bonus tajaan merupakan bonus tambahan yang diberikan sekiranya kita berjaya menjemput orang untuk menyertai pelaburan MyRezki dibawah kita. Bonus Tajaan yang diberikan adalah sebanyak RM10.00 bagi setiap orang yang kita jemput. Dengan kata lain, makin ramai yang kita jemput untuk untuk menyertai pelaburan MyRezki, maka makin banyak Bonus Tajaan yang kita akan dapat.
Bahagian Keempat : Bonus Infiniti (Infinity Bonus)
Bonus Infiniti merupakan bonus khas yang diberikan sekiranya kita berjaya menjemput sebanyak 60 orang dan ke atas untuk menyertai pelaburan MyRezki dibawah kita. Bonus Infiniti yang diberikan adalah sebanyak RM0.50 bagi setiap orang yang kita jemput. Dengan kata lain, makin ramai yang kita jemput untuk untuk menyertai pelaburan MyRezki, maka makin banyak Bonus Infiniti yang kita akan dapat dan Bonus Infiniti hanya bermula sekiranya kita sudah menjemput sebanyak 60 orang dan ke atas untuk menyertai pelaburan MyRezki dibawah kita.
Ambil Keputusan Untuk Sertai Pelaburan MyRezki
Selepas pelajar tersebut selesai bagi penerangan kepada saya, saya masih ada rasa sangsi dan minta dia bagi waktu untuk saya berfikir. Dia siap terangkan bahawa pelaburan MyRezki ini ada masuk surat khabar (Ya, memang ada masuk surat khabar dan saya tak tahu macam mana iklan pelaburan ini boleh terlepas dari pandangan staf akhbar tersebut) untuk yakinkan saya tetapi dia tetap bagi waktu kepada saya untuk berfikir. Jadi, saya teruskan aktiviti pada cuti semester saya iaitu bekerja sehingga tamat cuti semester dan mula semester baru.
Perkara pertama yang saya buat setelah masuk semester baru adalah berjumpa dengan kawan saya bernama Din. Din juga beritahu saya dia ada terbaca tentang pelaburan tersebut di group Whatsapp. Jadi, setelah lama berfikir, kami ambil keputusan untuk menyertai pelaburan ini dan hubungi pelajar tersebut. Jadi, kami berdua lakukan pembayaran sebanyak RM30.00 kepada akaun yang diberikan oleh pelajar itu dan kami akan menerima username, password serta link untuk login akaun pelaburan kami melalui email. Pada akaun tersebut, akan terpampang jumlah pelaburan kami iaitu sebanyak RM5.00 pada Level 1 serta status pelaburan kami iaitu Pakej Asas. Kemudian, kami juga diberikan satu link group Whatsapp dimana kesemua orang dalam group tersebut merupakan peserta pelaburan MyRezki dari kedua-dua pakej dan pelbagai Level.
Bulan Pertama Semua Okey Tetapi Bulan Kedua Situasi Mula Berubah
Selesai sahaja mendaftar, kami berdua terus masuk Group Whatsapp yang diberikan melalui link untuk mengetahui status pelaburan semasa. Dalam group tersebut, terdapat dalam 180 orang tak silap saya. Saya ambil keputusan untuk peram pelaburan saya sehingga capai Level 6 dan kemudian, baru saya nak keluarkan semua duit pelaburan saya yang sepatutnya berjumlah sebanyak RM19,530.00. Din pula bertekad untuk sertai Package Premium dan dia berusaha mengajak beberapa orang lain untuk join pelaburan MyRezki dibawah dia. Setakat yang saya tahu, dalam bulan pertama sahaja, dia sudah berjaya untuk mengajak seramai 4 orang.
Pada bulan pertama, semua situasi di dalam pelaburan tersebut berada dalam keadaan baik. Duit pelaburan yang pelabur dapat boleh dikeluarkan dari akaun pelaburan dan masuk ke dalam bank. Tambahan lagi, admin group tersebut juga sangat aktif dalam menjawab pelbagai persoalan yang diajukan. Untuk pengetahuan, pelajar yang saya hubungi untuk memberi penerangan tentang pelaburan tersebut merupakan salah satu peserta pelaburan tersebut dan dia hanya ingin mengajak orang untuk join bawah dia supaya dia dapat sertai Package Premium.
Pada bulan kedua, disinilah masalah mula berlaku. Ramai peserta telah mengadu bahawa mereka tidak dapat nak keluarkan duit dari akaun pelaburan mereka. Ada peserta yang berjaya keluarkan duit pelaburan mereka tetapi duit tersebut masih belum masuk ke dalam akaun bank. Ada juga peserta belum dapat bonus tajaan walaupun mereka telah berjaya mengajak beberapa orang untuk menyertai pelaburan ini dibawah mereka. Admin kumpulan mengumumkan bahawa sistem pelaburan mereka ada sedikit masalah disebabkan terlalu ramai pendaftaran peserta dan sistem ini akan tergendala buat sementara waktu. Saya dan Din tak fikir apa-apa dengan status pelaburan kami sebab kami berdua agak sibuk dengan tugasan universiti dan kerja sambilan.
Pada bulan ketiga, admin kumpulan telah mengumumkan bahawa masalah sistem pelaburan mereka masih belum selesai tetapi mereka tidak menjawab semua persoalan yang diajukan oleh peserta. Ada juga beberapa orang peserta telah rasa bahawa pelaburan MyRezki ini adalah scam semata-mata. Ada beberapa orang telah keluar dari group Whatsapp tersebut. Ketika itu, saya dan Din mula merasakan bahawa benda ini adalah scam tetapi kami masih lagi berharap bahawa pelaburan ini betul.
Masuk sahaja bulan keempat, admin kumpulan telah keluar dari group tersebut dan blok semua orang yang telah menghubungi dia untuk bertanyakan perihal.
Baru Sedar Bahawa Saya Telah Ditipu
Ketika itu, barulah saya sedar bahawa saya dan Din telah ditipu oleh scam pelaburan MyRezki dan semuanya hanyalah sekadar satu penipuan sahaja. Secara positifnya, saya dan Din hanya rugi dalam kuantiti yang sedikit sahaja iaitu sebanyak RM30.00 seorang tetapi saya tak tahu ahli-ahli kumpulan yang lain. Mungkin mereka sudah banyak keluarkan duit untuk menyertai pelaburan tersebut. Ada peserta yang mahu buat laporan polis tentang hal ini. Disebabkan tak mahu serabut kepala dan panjangkan cerita, saya dan Din terus keluar dari group Whatsapp. Kami berdua hanya mampu gelak sahaja sebab nasi sudah jadi bubur. Beberapa hari kemudian, saya dapati bahawa laman web pelaburan tersebut tersebut sudah tiada.
Pengakhiran
Maka berakhirlah pengalaman saya kene scam dengan bisnes pelaburan buat pertama kali dan saya harap ianya akan jadi kali terakhir. Saya anggap yang saya laburkan sebanyak RM30.00 merupakan satu yuran pengajaran kepada diri saya supaya tidak mudah ditipu pada masa hadapan. Sejak dari peristiwa itu, saya sentiasa berpegang bahawa "there are no such thing as easy money" dan kalau kalau kita betul-betul nak duit, kita perlu usaha sampai boleh.
Tags
Scammer