Kerja sambilan merupakan perkara sinonim bagi pelajar universiti dan kebanyakan dari mereka yang bekerja secara sambilan semasa belajar bertujuan untuk menambah duit poket. Saya juga merupakan salah seorang pelajar yang melakukan kerja secara sambilan sewaktu belajar Diploma.
Pengalaman tersebut merupakan salah satu kenangan yang tidak dapat dilupakan kerana banyak perkara baru yang saya belajar. Ini merupakan kerja sambilan saya yang kedua semasa belajar Diploma. Sebelum ini, saya bekerja secara sambilan sewaktu cuti semester di kedai Arts and Design.
Ceritanya bermula sewaktu saya sedang melepak di bilik kawan saya bernama Din. Untuk pengetahuan, saya dan Din juga pernah menyertai dan ditipu dengan scam pelaburan berunsurkan Multi-Level Marketing (MLM). Untuk baca kisah tersebut, boleh klik link dibawah.
Din memberitahu saya bahawa ada satu kedai fotostat yang akan dibuka di Kiosk Dewan Terbuka UiTM Machang dan kedai tersebut bernama Bizmart Printing. Kedai tersebut memerlukan pelajar untuk bekerja secara sambilan dan jumlah yang diperlukan adalah seramai empat orang.
Din mengajak saya untuk mohon kerja disini dan kami berdua terus hubungi pemilik kedai tersebut dan dia beritahu kami untuk berjumpa dengannya pada esok bagi sesi temuduga.
Lulus Temuduga Dan Mula Bekerja Di Bizmart Printing
Pada keesokkan harinya, saya dan Din berjumpa dengan pemilik kedai tersebut selepas tamat kelas. Termasuk kami dua orang, ada dua orang lagi pelajar perempuan yang akan ditemuduga. Jadi, jumlahnya adalah empat orang, seperti yang dimahukan oleh pemilik kedai tersebut.
Sesi temuduga yang dibuat tidaklah seperti temuduga rasmi yang dibuat seorang demi seorang. Kami berlima tersebut duduk dalam satu meja dan pemilik kedai tersebut memperkenalkan diri sebagai Dr. Faz manakala dua orang pelajar perempuan tadi pula bernama Nas dan Nur.
Semasa sesi temuduga, Dr. Faz hanya bertanyakan tentang soalan-soalan asas sahaja seperti kursus yang dipelajari sekarang dan pengalaman dalam berniaga. Salah satu perkara menarik yang saya dapat semasa sesi temuduga adalah keempat - empat dari kami datang dari kursus yang sama iaitu Diploma Sains Matematik.
Setelah sesi temuduga tamat, Dr. Faz memberitahu bahawa kami berempat telah lulus temuduga. Dia juga meminta kami untuk menghantar jadual kelas masing-masing kepadanya untuk urusan membuat jadual kerja baru.
Mula Bekerja Dan Dapat Pengalaman Baru
Setelah seminggu dari tarikh ditemuduga, jadual kerja telah diberikan kepada kami berempat dan kerja boleh mula dilakukan pada keesokannya hari. Secara asasnya, jadual kerja tersebut tidak terlalu pada kerana bagi setiap minggu, kami hanya bekerja selama empat jam sahaja.
Jika tak dapat kerja pada waktu tersebut, boleh beritahu kepada Dr. Faz tentang perihal ini. Semasa saya mula-mula bekerja, saya berkenalan dengan dua orang pekerja lama yang bernama Kak Far dan Kak Lina. Kak Far merupakan pekerja tetap di Bizmart Printing manakala Kak Lina pula merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sains Matematik.
Kak Far menjelaskan serba sedikit tentang kerja yang perlu dilakukan dan banyak mengajar saya tentang struktur perniagaan Bizmart Printing. Contohnya, kak Far mengajar saya cara untuk menggunakan mesin fotostat, cara untuk menukar toner mesin fotostat, cara untuk mencatat jualan dengan betul dan sebagainya. Pada mulanya, saya tidak faham tapi lama-kelamaan, saya boleh buat tentang semua benda yang diberitahu.
Minggu Awal Dan Akhir Merupakan Waktu Paling Sibuk
Minggu awal merupakan minggu yang agak sibuk kerana pada minggu tersebut, ramai pelajar yang perlu fotostat nota dalam kuantiti yang banyak. Bayangkan, wakil kelas hantar senarai nota dimana setiap nota memerlukan 30 salinan. Itu baru seorang. Bagaimana kalau 10 orang wakil kelas yang datang?
Minggu akhir pula sibuk kerana pada minggu tersebut, ramai pelajar yang perlu fotostat kertas peperiksaan pada semester-semester dalam semua subjek yang dipelajari. Satu subjek kebiasaanya pelajar akan minta fotostat lima semester terbaru. Jika ada empat subjek, maknanya jumlah yang perlu difotostat adalah 20 salinan. Itu baru seorang pelajar yang datang. Jika 10 orang pelajar yang datang?
Itu tidak termasuk lagi jika mesin fotostat buat hal semasa bekerja tetapi saya faham bahawa ini merupakan asam garam semasa kerja.
Belajar Teknik Marketing
Dr. Faz merupakan orang yang suka berkongsi ilmu tentang perniagaan marketing. Beliau banyak mengajar saya tentang cara-cara untuk menjalankan perniagaan serta cara membuat marketing dengan efektif. Salah satu teknik yang diajar adalah memperkenalkan tentang kad cop dan kad ahli.
Kad cop merupakan satu kad yang diberikan kepada semua pelanggan Bizmart Printing dimana pada kad tersebut akan ada 10 ruangan kosong untuk dicop. Setiap kali pelanggan membuat pembelian RM5.00 dan ke atas, satu cop akan ditampalkan pada kad tersebut. Sekiranya 10 ruangan pada kad cop tersebut telah penuh, maka pelanggan boleh menghantar kad tersebut kepada pihak Bizmart Printing untuk ditukarkan dengan hadiah.
Kad ahli merupakan kad yang diberikan kepada ahli setelah mendaftar menjadi ahli Bizmart Printing. Kad tersebut mempunyai beberapa tahap iaitu Silver, Gold dan Platinum. Pendaftaran adalah percuma bagi setiap pelanggan yang ingin mendaftar dan tiada caj tersembunyi.
Untuk pendaftaran kali pertama bagi kad Silver, pelanggan perlu topup sebanyak RM20.00 ke dalam kad tersebut dan pelanggan akan dapat 10% diskaun bagi setiap pembelian.
Untuk pendaftaran kali pertama bagi kad Gold pelanggan perlu topup sebanyak RM50.00 ke dalam kad tersebut dan pelanggan akan dapat 15% diskaun bagi setiap pembelian.
Untuk pendaftaran kali pertama bagi kad Platinum, pelanggan perlu topup sebanyak RM100.00 ke dalam kad tersebut dan pelanggan akan dapat 20% diskaun bagi setiap pembelian.
Jadi setiap kali nak lakukan urusan pembelian, boleh pakai kad tersebut dan nilaian yang ditopup boleh digunakan oleh pelanggan sehingga habis. Untuk topup seterusnya, nilai minimum adalah RM5.00 untuk semua jenis kad dan tiada nilai maksimum.
Sesi Kerja Sebelah Malam
Kerja sebelah malam bermula pada pukul 5 petang hingga ke 10 malam. Kak Far akan mulakan kerja beliau pada pukul 8 pagi dan berakhir pada 5 petang. Selepas jam 5 petang, akan ada seorang pelajar yang bekerja dari pukul 5 petang hingga ke 10 malam.
Kalau saya ada kelas yang tamat pukul 6 petang, saya akan buka kedai pada pukul 6 petang dan ke atas selepas tamat kelas dan solat Asar. Setiap hari, kunci spare akan diberikan kepada mereka yang akan bekerja pada sebelah malam.
Jadi, jika hari ini saya akan bekerja pada sebelah malam, saya akan ambil kunci spare dengan Kak Far semasa waktu gap antara kelas. Kerja sebelah malam biasanya tidak terlalu sibuk kerana bilangan pelanggan yang datang tak ramai tetapi bergantung kepada situasi dan hari.
Biasanya, saya akan siapkan order pelanggan yang akan ambil pada keesokan harinya. Selain itu, saya akan kira tentang jualan pada hari ini, supaya selari dengan duit tunai yang ada. Pada waktu Maghrib, saya akan tutup sekejap untuk solat Maghrib berdekatan dengan surau UiTM. Kemudian, saya akan buka balik kedai dan teruskan kerja saya sampai pukul 10 malam.
Kawan Berhenti Kerja Kerana Nak Fokus Pada Pembelajaran
Jika tidak dapat membahagikan masa dengan baik antara belajar dan kerja, tindakan yang paling utama adalah membuat pilihan yang paling utama iaitu belajar kerana itulah tujuan kita masuk universiti. Beberapa orang kawan saya membuat keputusan untuk berhenti kerja supaya dapat fokus dalam pelajaran dengan lebih baik.
Sepanjang saya bekerja, hanya saya seorang sahaja pekerja sambilan yang kekal dari awal semester hingga ke semester terakhir. Saya faham dengan situasi mereka dan hormati keputusan yang dibuat. Lagipun, kami semua masih juga berjumpa di luar kelas walaupun mereka sudah tidak bekerja.
Semester Terakhir
Semester akhir merupakan semester paling berat bagi saya. Bukan kerana akademik tetapi kerana tamatnya perjalanan diploma saya termasuk kerja sambilan saya. Selama empat semester saya bekerja, banyak asam garam yang saya terima dan pengalaman yang saya belajar. Sebelum saya tamat belajar, kak Far ada mengajak saya dan Din untuk makan KFC Machang. Haha, satu kenangan tak dapat dilupakan.
Tags
Kerja