Hutang merupakan perkara yang sinomin dengan masyarakat kita. Kebanyakan barang yang mempunyai tanda harga yang tinggi seperti kereta, motosikal, tanah atau rumah perlu dibeli dengan hutang bagi kalangan rakyat marhaen.
Secara dasarnya, hutang dan pinjaman merupakan dua perkara yang sama. Bezanya adalah hutang dikhususkan untuk wang manakala pinjaman boleh dikhususkan kepada wang dan benda. Sebagai contoh, kita tidak akan menyebut "Ali, saya nak hutang kereta awak untuk satu hari, boleh?" tetapi kita akan menyebut "Ali, saya nak pinjam kereta awak untuk satu hari, boleh?". Bagi sudut wang, kita boleh pakai sama ada "Abu, saya nak hutang dengan awak sebanyak RM100.00, boleh?" atau pun "Abu, saya nak pinjam dengan awak sebanyak RM100.00, boleh?".
Mereka yang mempunyai hutang walaupun sedikit sahaja, perlu belajar untuk menguruskannya dengan betul supaya hutang tersebut tidak memakan diri. Jika kita hanya mempunyai sedikit sahaja hutang, kita perlu pastikan yang kita sentiasa membuat pembayaran secara konsisten sehingga hutang tersebut selesai. Sebaliknya, jika kita mempunyai jumlah hutang yang sangat besar, kita digalakkan untuk merancang tentang cara untuk mengurus hutang tersebut dengan lebih efektif serta gandakkan usaha kita untuk selesaikan hutang tersebut secepat mungkin.
Jadi, penulisan kali ini akan menerangkan tentang cara - cara untuk menguruskan hutang kita dengan betul. Ingat, bagi orang Islam, hutang merupakan suatu perkara yang sangat berat kerana jiwa orang yang berhutang akan tergantung selagimana dia tidak melunaskan hutangnya terlebih dahulu berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW (Hadith riwayat Tarmidzi: 1079)
1. Perlu Tahu Dan Senaraikan Semua Hutang Dengan Lengkap
Untuk permulaan, ambil sebuah buku catatan kosong dan senaraikan semua hutang yang ditanggung. Senarai tersebut perlu lengkap dari sebesar-besar hutang seperti hutang rumah hingga sekecil-kecil hutang seperti hutang RM10.00 dengan kawan. Setiap catatan perlu dilengkapi dengan maklumat yang lengkap seperti dibawah.
- Nama hutang seperti Hutang Kereta Axia Advanced 2022
- Pemiutang seperti Bank BSN
- Jumlah hutang seperti RM30,000.00
- Tempoh masa berhutang seperti 5 tahun
- Bayaran bulanan seperti RM575.00
- Kadar faedah dikenakan seperti 3.0%
- Tarikh akhir pembayaran bulanan seperti 25 haribulan setiap bulan
- Tarikh dijangka selesai pembayaran hutang seperti 24 September 2027
Jika anda mahu memperolehi senarai yang lebih lengkap, anda boleh memohon laporan CCRIS dengan Biro Kredit Bank Negara Malaysia (BNM). Jika anda sudah mempunyai senarai hutang yang lengkap, ini akan memberikan gambaran yang lebih jelas tentang status hutang anda sekarang. Dengan kata lain, ini akan memudahkan urusan anda untuk merancang pengurusan hutang dengan lebih baik dan teliti.
Catatan
Jika anda sudah ada maklumat tentang nilaian hutang yang ditanggung serta maklumat pendapatan sendiri, anda boleh mengira nisbah Hutang Kepada Pendapatan (Debt-To-Ratio). Nisbah ini akan mengira tentang peratusan hutang anda berdasarkan pendapatan yang diperolehi. Sebagai contoh, katakan bahawa jumlah hutang bulanan yang ditanggung adalah sebanyak RM1,000.00 manakala pendapatan bulanan adalah RM4,000.000. Jadi, (1000 / 4000) x 100% = 25%. Jadi, anda boleh simpulkan bahawa 25% dari pendapatan bulanan anda adalah untuk bayar hutang. Semakin rendah nisbah ini, semakin baik status anda sekarang. Dengan kata lain, hutang anda sedikit dan pendapatan anda banyak. Dengan menggunakan nisah ini, anda dapat memahami tentang hutang dan kewangan dengan lebih jelas.
Ingat, senarai yang telah anda buat perlu diteliti dan bukannya untuk dilupakan. Sentiasa kemaskini dan baca senarai yang dibuat secara berkala, terutamanya setelah anda sudah selasai membayar hutang tersebut. Disyorkan untuk mengemaskini senarai tersebut setiap dua bulan sekali sehingga semua hutang anda selesai.
2. Bayar Bil Dan Hutang Setiap Bulan
Sentiasa istiqamah dan konsisten dalam membayar bil dan hutang setiap bulan. Jika urusan ini lewat dibuat, kemungkinan tinggi yang anda akan dikenakan caj pembayaran lewat dan ini akan menambahkan lagi komitmen bulanan anda. Semakin lewat anda lakukan pembayaran bulan, makan semakin bertambah denda yang dikenakan kepada anda.
Cara terbaik adalah pakai satu akaun bank khas untuk melakukan pembayaran hutang. Sebagai contoh, katakan bahawa kita memakai akaun Maybank. Jadi, kita aktifkan fungsi auto-debit setiap bulan dengan menggunakan Maybank2u. Kemudian, kita masukkan senarai pembayaran bulan bagi hutang yang dibayar dengan bank seperti hutang kereta, rumah dan tanah.
Setelah selesai, apa yang perlu anda buat adalah masukkan semua duit untuk bayar hutang dari pendapatan yang diperolehi ke dalam akaun Maybank dan sistem auto-debit akan lakukan kerja secara automatik. Jadi, jika hutang anda adalah RM1,000.00, maka anda tarik terus dari gaji anda sebanyak RM1,000.00 (saya cadangkan untuk lebihkan sedikit dalam RM50.00 - RM100.00) dan masukkan ke dalam akaun Maybank.
Jadi, tiga urusan pembayaran hutang dapat dibuat dengan satu kali sahaja iaitu masukkan ke dalam akaun bank yang menguruskan pembayaran hutang. Jadi, fungsi auto-debit merupakan suatu fungsi yang sinonim bagi mereka yang mempunyai akaun bank dan fungsi ini sangat - sangat berguna untuk tujuan ini. Untuk ketahui dengan lebih lanjut atau tahu cara-cara untuk aktifkan fungsi Auto-Debit, boleh klik link dibawah.
- Link : Cara Menetapkan Fungsi Auto Debit Bagi Maybank
- Link : Cara Menetapkan Fungsi Auto Debit Bagi Affin Bank
- Link : Cara Menetapkan Fungsi Auto Debit Bagi Cimb Bank
- Link : Cara Menetapkan Fungsi Auto Debit Bagi Bank Islam
- Link : Cara Menetapkan Fungsi Auto Debit Bagi Bank Rakyat
- Link : Cara Menetapkan Fungsi Auto Debit Bagi Bank BSN
- Link : Cara Menetapkan Fungsi Auto Debit Bagi Agro Bank
3. Cipta Kalendar Pembayaran Bil Bulanan
Setelah selesai menetapkan fungsi auto-debit, sekarang anda hanya perlu mencipta kalendar pembayaran bil bulanan. Kebiasaanya, pembayaran hutang bulanan mempunyai tarikh berbeza. Sebagai contoh, hutang kereta dibayar setiap 5hb, rumah pula 10hb dan tanah pula pada 15hb.
Sebagai contoh, pada 25hb bulan 10, anda mendapat gaji anda sebanyak RM4,000.00 dan anda masukkan terus RM1,000.00 ke dalam akaun Maybank bagi tujuan pembayaran hutang. Jadi, pada 6hb (sehari selepas tarikh pembayaran hutang kereta), anda semak terus akaun Maybank samada akaun anda telah ditolak atau belum. Jika Ya, tandakan kepada kalendar yang anda telah buat.
Ini bertujuan supaya anda tahu kemajuan pembayaran yang dibuat dan dapat memberikan gambaran jelas. Kalendar disini tidak bermakna anda perlu kalendar fizikal. Anda boleh ciptakan kalendar ini dengan menggunakan Microsoft Excel, mengikut kesesuaian dan kreativiti anda sendiri.
4. Setiap Bulan Lakukan Pembayaran Minimum
Jika anda tidak mampu untuk membayar lebih bagi hutang setiap bulan, sekurang-kurangnya anda lakukan pembayaran paling minimum yang telah ditetapkan oleh pihak bank. Benar, pembayaran bulanan yang minimum tidak akan membantu menyelesaikan hutang anda dengan lebih cepat tetapi tindakan ini dapat mengelakkan diri dari dikenakan caj pembayaran lewat.
Jadi, jika ada hutang yang anda nak lakukan pembayaran minimum sahaj, anda boleh ubah pada fungsi-auto debit yang telah dibuat dan tetapkan kepada pembayaran minimum sahaja. Ini dapat mengelakkan diri dari terlepas pembayaran bulanan dan jika situasi ini berlaku, bebanan anda akan bertambah.
Catatan
Jika anda telah banyak berhutang, jangan pakai kad kredit walaupun ramai orang yang beritahu bahawa kad kredit membawa banyak kebaikan. Gunakan sahaja tunai buat sementara waktu, ikut bajet yang telah dibuat dan lakukan pembayaran dengan duit yang sedia ada sahaja.
5. Pilih Hutang Mana Yang Perlu Diselesaikan Terlebih Dahulu
Cadangan saya adalah untuk membayar hutang yang mempunyai kadar faedah tahunan yang tinggi seperti hutang kad kredit. Kemudian, selesaikan hutang-hutang lain yang dikenakan kadar faedah tahunan. Akhir sekali, kita boleh lakukan pembayaran hutang yang tidak dikenakan sebarang faedah. Jadi, gunakan senarai hutang yang telah dibuat bagi mengutamakan dan menyusun hutang anda dengan mengikut turutan yang betul.
Anda juga boleh mendahulukan hutang yang mempunyai nilai baki yang terendah dahulu. Ini mungkin akan memakan kos yang lebih sedikit tetapi dengan cara ini, kita dapat selesaikan hutang yang kecil dengan lebih cepat dan bilangan hutang yang kita ada juga akan berkurang.
Sebagai contoh, jika kita ada 10 jenis hutang dimana 7 dari hutang tersebut merupakan hutang yang besar dan baki 3 lagi adalah hutang kecil, kita boleh memilih untuk selesaikan 3 hutang kecil dahulu secepat mungkin. Jadi, bila sahaja hutang-hutang kecil ini telah selesai, kita boleh fokuskan hanya untuk 7 hutang sahaja dalam kehidupan kita.
6. Jangan Rosakkan Kredit Bagi Semua Hutang
Setiap bulan, anda perlu bayar hutang anda sebanyak mana yang anda mampu. Jika anda mempunyai sumber kewangan terhad pada sesuatu masa, sila fokuskan diri untuk memastikan bahawa hutang-hutang lain berada dalam kedudukan yang baik.
Jangan sesekali anda korbankan akaun hutang positif (akaun baik) untuk akaun hutang negatif (akaun buruk) yang akan menjejaskan kredit anda. Sebaliknya, anda lakukan pembayaran seperti biasa dan bayar akaun hutang negatif yang tertangguh bila anda mampu.
Sebagai contoh, katakan bahawa anda ada 3 jenis hutang iaitu hutang rumah, hutang tanah dan hutang kereta. Suatu masa, dana bulanan anda tak cukup untuk bayar semua hutang. Jadi, anda perlu korbankan satu akaun hutang anda untuk menangguh pembayaran. Misalnya, kita tangguhkan pembayaran bulanan bagi hutang kereta.
Dengan cara ini, anda masih dapat melakukan pembayaran bagi hutang rumah dan hutang kereta. Sudah tentu, akaun hutang rumah dan tanah akan menjadi akaun positif (akaun baik) manakala akaun hutang kereta akan menjadi akaun negatif (akaun buruk).
Jadi, setelah situasi ini berlaku, anda hanya perlu pastikan akaun yang baik sentiasa menjadi baik dan akaun yang buruk, anda lakukan pembayaran bila mampu. Jangan sesekali anda tangguhkan bayaran bulanan bagi akaun baik yang anda ada. Anda hanya perlu korban satu sahaja akaun baik dan biarkan yang lain.
Perkara ini mungkin anda mencalarkan sedikit kredit skor anda tetapi ianya lebih baik begini berbanding semua akaun anda menjadi akaun buruk. Cadangan saya, pilih akaun hutang yang mempunyai tempoh paling singkat untuk dijadikan korban sekiranya situasi ini berlaku. Dalam kes ini, biasanya hutang rumah dan tanah adalah dalam tempoh 30 - 35 tahun manakala hutang kereta hanyalah 9 tahun paling maksimum.
7. Bina Dana Kecemasan Dan Gunakan Bila Perlu
Dana kecemasan amat penting terutama dalam situasi sebegini. Tidak kisah samada dana kecemasan yang kita miliki masih kecil, tetapi ianya akan dapat membantu anda serba sedikit dalam urusan perbelanjaan. Dana kecemasan boleh bermula dengan 3 bulan gaji hingga 3 tahun gaji. Mulakan dengan hanya 3 bulan gaji dan simpan di tempat yang selamat dan tidak mudah diakses. Jadi, pastikan anda mempunyai dana kecemasan walaupun hanya sedikit.
Anda boleh gunakan dana kecemasan bila kita perlu seperti melakukan pembayaran hutang. Mungkin ada satu bulan, kewangan anda tidak memuaskan dan anda tidak cukup wang untuk membayar hutang. Jadi, anda boleh "pinjam" dana kecemasan anda buat sementara waktu untuk untuk urusan ini. Apabila selesai semuanya, bulan hadapan, anda bayar balik "pinjaman" yang dibuat atas dana kecemasan anda.
8. Bezakan Keperluan Dan Kemahuan
Di dalam kehidupan kita, akan ada keperluan dan kemahuan yang diingini. Adakah televisyen berukuran 80 inci merupakan satu keperluan? Adakah pergi bercuti ke luar negara itu merupakan satu keperluan? Jika tidak, tangguhkan dulu perkara ini dan pilih untuk berbelanja atas keperluan sahaja.
Tiada masalah untuk berbelanja kemahuan tetapi biarlah berkadar minimum sahaja. Contohnya, anda boleh sahaja nak keluar makan di tempat yang agak mahal tapi biarlah pada kadar 3 bulan sekali sehinggalah dana kewangan kita kukuh. Makan dimana-mana sama sahaja asalkan ianya halal dan dapat mengenyangkan perut anda.
Kemudian, jika mahu juga ikut kemahuan, pastikan ianya tidak akan menjejaskan keperluan bulanan anda dan pembelian perlu dibuat dengan tunai (tanpa hutang). Sebagai contoh, jika anda sudah lama mengidam untuk membeli meja makan baru walaupun meja lama masih elok untuk digunakan, pastikan anda membelinya secara tunai dan bukannya hutang.
9. Kenali Tanda-Tanda Yang Anda Memerlukan Bantuan
Jika anda merasa serabut dan sukar untuk merancang dan membayar hutang anda setiap bulan, anda mungkin perlu mendapatkan bantuan luar seperti agensi kaunseling kredit. Terdapat beberapa cabang lain untuk urusan penyelesaian hutang dengan baik.
Penyatuan Hutang
Penyatuan bank ialah semua hutang kita (hanya hutang berkait dengan bank) disatukan menjadi satu hutang sahaja. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang penyatuan hutang, boleh klik link di bawah.
Penyelesaian Hutang
Penyelesaian hutang ialah apabila hutang yang jelaskan kurang dari nilai sebenar yang anda berhutang dan pada masa yang sama, anda berjanji akan membayar jumlah yang diselesaikan sepenuhnya. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang penyelesaian hutang, boleh klik link di bawah.
Rumusannya, uruskan hutang anda dengan betul bagi menjamin masa depan yang lebih baik. Jika ada apa - apa persoalan, boleh komen dibawah. Saya akan cuba jawab soalan - soalan yang diberikan dengan sebaik mungkin. Terima kasih
Tags
Kewangan