Ada orang sebut yang ASB Financing lebih baik dari simpanan ASB Biasa. Ada juga yang mengatakan bahawa ASB Financing sebenarnya lebih rugi berbanding simpanan ASB Biasa. Sebenarnya, ASB Financing dan ASB Biasa mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Jadi, penulisan kali ini akan membincangkan tentang kelebihan dan kekurangan ASB Financing serta simpanan ASB Biasa. Saya telah sediakan 6 kelebihan dan 6 kekurangan yang terdapat pada kedua-dua cabang pelaburan.
Penafian : Saya bukan pegawai bank dan saya tidak berpihak kepada mana-mana bank mahupun ASNB. Saya hanya rakyat Malaysia yang biasa dan segala penulisan saya adalah berdasarkan kepada pengalaman saya sendiri. Jangan melabur tanpa ilmu didalam dada. Segala risiko ditanggung sendiri.
Kelebihan ASB Financing
1. Keuntungan Tinggi Dalam Masa Jangka Panjang
ASB Financing dapat memberikan keuntungan yang tinggi dalam masa jangka panjang. Ini disebabkan oleh permulaan modal yang digunakan dapat menjana dividen yang tinggi serta sifat compounding yang ada pada ASB Financing.
2. Menaikkan Skor Kredit Pada Laporan CCRIS
Disebabkan ASB Financing terlibat dengan pinjaman bank, maka mereka yang selalu membuat pembayaran bulanan dapat memberikan reputasi baik kepada pihak bank. Dengan kata lain, bank akan tahu bahawa anda mampu untuk buat bayaran bulanan.
Dalam kes ini, skor kredit dalam laporan CCRIS akan meningkat naik. Ini akan memudahkan diri anda untuk membuat pinjaman-pinjaman lain jika perlu.
3. Sangat Sesuai Untuk Mereka Yang Mahu Force Saving
ASB Financing merupakan satu pelaburan yang memerlukan disiplin tinggi. Tambahan lagi, duit ASB Financing tidak boleh dikeluarkan sesuka hati anda kerana perlu melalui proses-proses tertentu.
Situasi ini dapat melatih diri mereka yang mahu force saving disebabkan kurangnya disiplin dalam menyimpan duit.
4. Proses Pendaftaran Yang Sangat Mudah
Dokumen yang anda perlukan untuk mendaftar ASB Financing hanyalah salinan kad pengenalan dan slip gaji atau surat pengesahan gaji sahaja. Kemudian, pergi sahaja ke bank berkenaan untuk proses pendaftaran.
Jika nak tahu dengan lebih terperinci tentang cara nak melabur ASB Financing, boleh klik link dibawah.
5. Dapat Buat Tuntutan Duit Jika Ambil Takaful
Jika anda ambil takaful semasa buat ASB Financing, jadi anda berhak untuk membuat tuntutan takaful jika berlaku kemalangan dan sebagainya. Untuk perihal tuntut, boleh rujuk kepada pihak bank berkenaan.
Jika nak tahu dengan lebih terperinci tentang perihal takaful dalam ASB Financing serta kesannya, boleh klik link dibawah.
6. Boleh Dapat Hadiah Dari Pihak Bank
Kadang-kadang, pihak bank akan memberikan hadiah seperti botol air dan beg kepada pelabur yang membuat ASB Financing dengan bank berkenaan.
Kekurangan ASB Financing
1. Wajib Buat Bayaran Setiap Bulan
Apabila anda buat ASB Financing, maka boleh dikatakan yang komitmen bulanan anda akan bertambah. Ini kerana ASB Financing perlu dibayar setiap bulan kepada pihak bank.
2. Kenaikan Kadar Bayaran Bulanan
Jenis kadar faedah yang dikenakan oleh pihak bank dalam pelaburan ASB Financing adalah kadar faedah berubah (floating rate).
Dengan kata lain, jika Bank Negara Malaysia menaikkan kadar asas (base rate) dengan lebih tinggi, maka kadar bayaran bulanan juga akan naik.
3. Hanya Boleh Keluarkan Dividen Sahaja
ASB Financing bersifat sijil yang dipinjam dari pihak bank untuk digunakan atas nama anda untuk menjana dividen setiap tahun. Jadi, hanya dividen sahaja yang boleh dikeluarkan dan digunakan.
Sijil tersebut masih lagi berstatus pinjaman. Apabila anda terminate kontrak, sijil tersebut akan dipulangkan balik kepada pihak bank
4. Terikat Dengan Kontrak Yang Ditanda
Apabila anda menandatangani kontrak ASB Financing, anda semestinya akan terikat dengan kontrak tersebut sehinggalah tempoh kontrak tamat atau anda terminate kontrak tersebut.
5. Proses Pembatalan Kontrak Yang Agak Lama
Jika anda mahu terminate kontrak anda, proses untuk pembatalan kontrak akan mengambil masa lebih kurang satu hingga tiga bulan, bergantung kepada bank.
6. Boleh Memberi Kesan Kepada Laporan CCRIS Jika Tidak Lakukan Pembayaran Bulanan
Jika anda tidak lakukan pembayaran kepada bank atau lewat buat bayaran, maka rekod CCRIS anda akan tercalar kerana bank tahu anda tidak mampu untuk bayar komitmen bulanan dengan baik.
Kesannya, anda akan susah untuk membuat pinjaman-pinjaman lain seperti pinjaman kereta atau pinjaman rumah kerana bank sudah ada rekod anda.
Kelebihan ASB Biasa
1. Boleh Lakukan Simpanan Bila-Bila Masa
Salah satu kelebihan ASB Biasa adalah anda boleh lakukan simpan pada bila-bila masa yang anda mahu. Tambahan lagi, anda juga boleh menyimpan seberapa banyak nilai simpanan yang anda mahu sehingga ke 200,000 unit sijil.
2. Tiada Bayaran Bulanan Yang Ditetapkan
Ini merupakan kelebihan ASB Biasa yang besar berbanding ASB Financing. Tiada pembayaran bulan yang wajib dilakukan. Dengan kata lain, simpanan ASB Biasa bukan komitmen bulan yang anda wajib bayar.
3. Boleh Keluarkan Kesemua Modal Dan Dividen
Disebabkan segala simpanan ASB Biasa datang dari anda sendiri, maka anda boleh keluarkan kesemua modal dan dividen yang anda telah perolehi. Walaupun begitu, saranan saya supaya tinggalkan baki minimum RM10.00 dalam akaun ASB anda.
4. Tiada Urusan Pembatalan Kontrak
Disebabkan simpanan ASB Biasa tidak terikat mana-mana kontrak, jadi anda tidak perlu fikir tentang pembatalan kontrak atau perkara yang seangkatan dengannya. Jika anda ingin tutup akaun ASB anda (saya cadangkan jangan tutup), boleh hubungi pihak ASNB sahaja.
5. Tidak Terikat Dengan Kontrak Yang Ditanda
Untuk kes simpanan ASB Biasa, anda tidak akan terikat dengan mana-mana kontrak. Dengan kata lain, kesemua simpanan yang dibuat dalam ASB tidak akan melibatkan mana-mana bank.
6. Tidak Memberi Kesan Kepada Laporan CCRIS
Dengan kata lain, laporan CCRIS anda tidak akan terjejas, tidak kira sama ada anda simpan sedikit mahupun banyak dalam akaun ASB anda.
Kekurangan ASB Biasa
1. Keuntungan Lebih Rendah Dalam Masa Jangka Panjang
Ini disebabkan oleh sifat compounding yang ada dalam pelaburan ASB. Permulaan modal bagi ASB Financing adalah lebih tinggi berbanding simpanan ASB Biasa.
Jika permulaan modal yang dimasukkan adalah tinggi, maka dividen juga akan tinggi dan dalam masa jangka panjang, keuntungan simpanan ASB Biasa akan lebih rendah.
Contohnya, jika anda simpan sendiri RM245.00 sebulan selama 40 tahun, keuntungan yang akan diperolehi lebih rendah berbanding keuntungan ASB Financing
Katakan yang anda buat ASB Financing sebanyak RM50,000.00 dengan kadar faedah 4.20% dan ikat kontrak selama 30 tahun. Bayaran bulanan bagi ASB Financing tersebut tetap sama iaitu RM245.00 satu bulan.
2. Tidak Dapat Menaikkan Skor Kredit Pada Laporan CCRIS
Disebabkan simpanan ASB Biasa tidak melibatkan dengan pinjaman pihak, maka skor kredit pada laporan CCRIS anda tidak akan naik walaupun anda rajin menyimpan setiap bulan.
3. Tidak Sesuai Bagi Mereka Yang Mahu Force Saving
Sudah tentu tidak simpanan ASB Biasa tidak sesuai bagi mereka yang mahu Force Saving kerana tidak wujud paksaan untuk menyimpan. ASB Financing pula, anda mungkin 'terpaksa' membayar setiap bulan kepada pihak bank walaupun terpaksa dan ini dapat memberikan pulangan yang baik kepada pelabur ASB Financing.
4. Kemungkinan Tidak Wujud Disiplin Untuk Menyimpan
Disebabkan simpanan ASB Biasa bukannya satu komitmen bulanan, jadi kemungkinan anda tidak akan berdisiplin untuk menyimpan setiap bulan. Jika ada niat nak menyimpa, mungkin anda akan tangguh niat tersebut sebab nak beli benda lain.
5. Tiada Tuntutan Takaful Jika Berlaku Kemalangan
Ini merupakan salah satu kekurangan yang ada jika anda menyimpan dengan ASB Biasa. ASB Biasa tidak mempunyai sebarang takaful. Dengan kata lain, jika anda menyimpan dengan ASB Biasa dan anda terlibat dalam kemalangan, anda tidak akan dapat menuntut sebarang takaful.
Kontrak ASB Financing pula mempunyai pilihan untuk ambil takaful. Jika ambil takaful, anda akan dilindungi jika berlaku sebarang kemalangan. Sudah tentu, anda akan dapat tuntut takaful dari pihak bank yang berkaitan.
6. Tidak Dapat Hadiah Dari Pihak Bank
Walaupun sekadar hadiah, tetapi biasanya pelanggan yang menyimpan ASB Biasa tidak mendapat sebarang hadiah kerana tidak terlibat dengan pihak bank.
Pelabur ASB Financing pula berkemungkinan akan dapat hadiah kerana ianya melibatkan dengan pihak bank.
Rumusan
Sama ada ASB Financing atau ASB Biasa, kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Yang penting, kita perlu mula menyimpan dan melabur dari sekarang supaya kewangan kita akan kukuh pada masa depan.
Jadi, yang mana satu anda akan pilih? Boleh komen dibawah.
Itu sahaja dari saya untuk penulisan kali ini. Jika ada apa - apa persoalan, boleh komen dibawah. Saya akan cuba jawab soalan - soalan yang diberikan dengan sebaik mungkin. Sekian, terima kasih.