Setelah siap segala persediaan sebelum menjalani latihan industri, akhirnya tiba juga hari untuk anda melaporkan diri ke syarikat tersebut. Anda yang rasa bersemangat, ada juga yang berasa teruja dan ada juga yang berasa gugup.
Dalam kes ini, persediaan yang awal sangat penting supaya segala perjalanan anda dari awal latihan kerja hingga akhir latihan kerja akan berjalan dengan lancar. Jadi, penulisan kali ini akan membincangkan tentang persediaan penting bagi mahasiswa semasa menjalani latihan industri.
Untuk ketahui dengan lebih lanjut tentang latihan industri, boleh klik link dibawah.
Jika anda nak tahu tentang persediaan sebelum menjalani latihan industri, boleh klik link dibawah.
Jika anda nak tahu tentang persediaan selepas menjalani latihan industri, boleh klik link dibawah.
1. Lengkapkan Segala Dokumen Berkaitan Yang Perlu Dibawa
Beberapa hari sebelum lapor diri, pastikan anda sudah lengkapkan segala dokumen yang perlu dibawa nanti. Letak kesemua dokumen terbabit dalam satu fail khas untuk latihan industri.
Selain itu, sediakan juga salinan kad pengenalan dalam beberapa helai serta beberapa keping gambar passport.
2. Pastikan Pengangkutan Berada Dalam Keadaan Baik
Jika naik kenderaan sendiri, pastikan kenderaan tersebut berada dalam keadaan baik. Semak minyak dan perkara lain supaya tiada masalah nanti apabila tiba hari lapor diri.
Jika naik kenderaan awam, pastikan anda cakna dengan jadual pengangkutan awam terbabit supaya tak terlepas perjalanan.
Jika tumpang kenderaan kawan, rajinkan diri untuk bertanyakan khabar dan tanya tentang kenderaan yang akan digunakan serta pukul berapa akan bertolak.
3. Bangun Awal Dan Bersiap Awal
Bangun awal dari tidur dan bersiap awal. Pastikan segala barang dan dokumen yang perlu dibawa sudah diletakkan yang mudah dicapai dan dilihat.
4. Jangan Lupa Sarapan Pagi Dan Bawa Roti Serta Air Mineral
Pastikan anda makan sarapan pagi walaupun sedikit untuk elakkan gastrik atau sakit perut. Jika tidak ada selera makan, makan sahaja sedikit biskut kering dan air sebagai alas perut.
Jangan lupa untuk bawa roti Gardenia kecil dan air mineral sebagai langkah persediaan awal, jika anda berasa lapar ketika waktu latihan nanti.
5. Datang Awal Untuk Elak Kesesakan Lalulintas
Lebih awal anda bertolak, lebih baik. Kalau anda naik kenderaan awam seperti LRT, MRT atau Monorel, tiada masalah.
Jika anda naik bas atau kereta, bertolaklah lebih awal untuk elak dari jem. Kalau anda sampai lewat pada hari lapor diri, anda sudah bagi gambaran buruk tentang diri anda pada pihak syarikat.
6. Jumpa Dengan Orang Yang Akan Menjadi Penyelia Anda
Apabila sudah sampai ke syarikat tersebut, anda sepatutnya akan berjumpa dengan penyelia syarikat yang telah ditugaskan untuk menjaga anda sepanjang tempoh latihan.
Jika anda tidak tahu dimana dia berada, tanyalah kepada pengawal keselamatan atau pekerja-pekerja yang ada dalam pejabat tersebut. Jangan diamkan diri sambil tunggu orang tanya anda dahulu.
7. Tanya Soalan Yang Berkaitan
Jika sudah berjumpa dengan penyelia anda, kemungkinan besar akan ada sesi perkenalan secara ringkas. Anda perlu rajinkan diri untuk bertanya perkara asas berkaitan dengan syarikat semasa sesi perkenalan.
8. Duduk Di Tempat Yang Disediakan
Apabila sesi perkenalan telah tamat, biasanya penyelia tersebut akan letakkan anda di tempat kerja yang disediakan dan akan beritahu tugas yang perlu anda buat. Ada juga situasi dimana penyelia benarkan pelajar buat aktiviti sendiri pada hari pertama.
9. Berkenalan Dengan Orang Ramai
Sambil anda mulakan latihan kerja harian, disarankan untuk mula berkenalan dengan rakan sepejabat masing-masing. Paling mudah, bertanyakan nama kepada orang yang berada disebelah anda. Kemudian, tanyalah perkara yang patut kepada mereka.
10. Catat Aktiviti Harian
Apabila anda bekerja, pastikan anda catat segala tugas dan aktiviti harian yang anda lakukan. Kebiasaanya, pihak universiti akan menyuruh pelajar menulis satu laporan harian atau mingguan sepanjang sesi latihan industri.
Anda tidak perlu catat secara terperinci. Cukup sekadar dengan catatan ringkas yang senang difahami. Dekat laporan harian nanti, baru anda ulas kembali catatan yang dibuat dengan lebih terperinci.
11. Kemaskini Laporan Dari Semasa Ke Semasa
Selain dari laporan harian, anda juga perlu menghantar satu lagi laporan latihan industri. Laporan yang ini lebih tebal dan lebih panjang. Selain dari menyatakan tentang aktiviti yang dibuat, anda perlu menyatakan tentang keadaan syarikat tersebut.
Sebagai contoh, kelemahan yang ada dalam syarikat dan langkah untuk perbaiki kelemahan tersebut.
12. Ambil Gambar Yang Patut
Sebelum ambil gambar ditempat kerja, pastikan anda minta kebenaran dahulu dengan pihak syarikat untuk ambil gambar tertentu. Kemungkinan besar ada ruangan kerja yang tidak boleh diambil gambar, atas dasar sulit dan peribadi (confidential and private).
Jika sudah dapat keizinan, ambil gambar beberapa keping untuk diletakkan dalam laporan latihan industri. Sebagai contoh, ruangan latihan kerja anda, peralatan yang digunakan dan sebagainya.
13. Bertanyakan Kepada Penyelia Jika Ada Masalah
Jika anda mempunyai sebarang masalah berkaitan dengan latihan kerja yang ditugaskan, beranikan diri untuk bertanya denga penyelia anda. Jangan diamkan diri dan tinggal tugas tersebut atas dasar kerana tidak tahu.
14. Kuatkan Semangat Semasa Bekerja
Tekanan latihan industri tidak akan sama seperti tekanan belajar. Salah satunya adalah diberikan pelbagai tugas, terlalu banyak tugas yang anda tidak faham, terpaksa balik sedikit lewat dan sebagainya.
Kuatkan semangat dan jadikan ia sebagai satu latihan dan pengalaman buat diri sendiri kerana inilah sebenarnya yang dirasakan apabila masuk ke alam pekerjaan.
15. Belajar Benda Baru Dan Buat Yang Terbaik
Jika ada benda baru yang ditugaskan, jangan mengalah terus atau cakap tidak tahu. Anda cuba dahulu dengan bertanyakan kepada rakan sekerja tentang perihal tugas diberikan.
Kemudian, anda boleh cari di Google tentang perihal ini untuk mendapatkan rujukan serta panduan yang lebih lengkap dan teratur.
Jika masih tidak tahu juga, rujuk kepada penyelia anda tentang perkara ini dan minta beliau berikan kepada anda bimbingan dalam melatih anda dalam tugasan ini.
16. Laporkan Kepada Pensyarah Jika Nak Tukar Tempat Latihan Industri
Jika anda merasakan bahawa tempat latihan industri tersebut tidak sesuai dan mahu tukar ke tempat lain, sila laporkan kepada pensyarah yang terlibat. Prosedur bagi penukaran tempat latihan industri adalah berbeza bagi setiap universiti.
Rumusan
Latihan industri dicipta bagi mendedahkan kepada pelajar tentang suasana dan persekitaran kerja yang sebenar. Dengan kata lain, tempat yang anda akan menjalankan latihan industri merupakan tempat yang anda akan timba pengalaman baru.
Jika anda bersedia dengan lebih awal, anda tidak akan kalut bila tiba waktu untuk laporkan diri anda. Jika ada sebarang masalah, boleh rujuk kepada pensyarah yang bertanggungjawab dalam menguruskan perihal ini. Goodluck.
Itu sahaja dari saya untuk penulisan kali ini. Jika ada apa - apa persoalan, boleh komen dibawah. Saya akan cuba jawab soalan - soalan yang diberikan dengan sebaik mungkin. Sekian, terima kasih.