10 Jenis Tabung Simpanan Yang Wajib Tahu Dan Ada Bagi Setiap Orang


Pengurusan wang yang baik dan tetap merupakan salah satu ilmu yang baik dipelajari oleh semua orang sama muda atau tua. Ramai di kalangan rakyat Malaysia terutamanya golongan muda lebih leka dengan gaya hidup yang berunsurkan kemewahan tetapi hanya sebahagian kecil sahaja yang celik tentang perihal ini. 

Tiada masalah bagi diri kita untuk berbelanja lebih untuk kepuasan diri tetapi pastikan kita ada pelan yang baik untuk uruskan duit kita. Kelak, ilmu ini akan menolong kita pada masa depan. Penulisan kali ini akan berkongsi tentang 10 jenis tabung simpanan yang wajib anda tahu dan ada.

1. Tabung Duit Syiling


Tabung yang paling mudah dan paling senang. Sediakan satu botol kosong dan tebuk botol tersebut supaya muat bagi semua saiz duit syiling. Letakkan ditempat yang mudah capai dan sering lalu. Itu sahaja. 

Setiap kali ada duit syiling, masukkan ke dalam tabung tersebut sehingga tabung tersebut penuh. Saya cadangkan pakai botol yang bersaiz besar. Boleh juga ajarkan kepada anak kita tentang perkara ini supaya mereka kena dan faham erti menabung

2. Tabung 10% Gaji


Setiap bulan, potong terus 10% dari gaji anda dan letak dalam simpanan yang sememangnya tidak dapat diusik. Saya cadangkan tabung ini bagi mereka yang tidak mempunyai pencen atau Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Jika kita tiada dua-dua, lakukan tabung 10% gaji kita dan buat secara konsisten. Sebagai contoh, jika gaji kita adalah sebanyak RM2,000.00 sebulan, makan tarik terus RM200.00 dari gaji tersebut untuk disimpan. Simpanlah ditempat yang baik dan tidak dapat diusik dengan mudah. Bila dah terbiasa dan kewangan makin kukuh, boleh naikkan kepada 15% ke 20%.

3. Tabung Wang Hijau
Tabung wang hijau merujuk kepada duit bernilai RM5.00 yang sering kita nampak waktu lakukan urusan pembayaran. Setiap kali nampak RM5.00, kita simpan terus ke dalam tabung hijau. Bila boleh keluarkan? Bila tabung tersebut sudah penuh atau kita nak "pinjam" dahulu duit tersebut dan akan "bayar" balik.

4. Tabung Wang Oren
Tabung oren merujuk kepada duit bernilai RM20.00. Setiap kali nampak RM20.00, kita simpan terus ke dalam tabung oren. Kita boleh keluarkan tabung oren selepas satu tahun atau jika ada kecemasan sahaja.

5. Tabung Haji Dan Umrah


Untuk menunaikan umrah, kita perlukan duit. Jadi, ambil sedikit wang dari gaji kita untuk simpan di Tabung Haji. Buatlah dengan pasangan anda dan bila sudah cukup, kedua-dua pasangan boleh pergi buat umrah sekali.

6. Tabung ASB


ASB merupakan satu cabang pelaburan yang tiada risiko dan sentiasa memberikan pulangan dividen tahunan secara konsisten. Saya cadangkan supaya duit gaji kita ditarik sedikit ke simpan ASB supaya kita perolehi dividen dari pelaburan kita. Salah satu teknik lain yang biasa digunakan adalah teknik pelaburan ASBF iaitu ASB Financing.

Teknik ini menggunakan hutang dari bank bagi melabur ke ASB dan perlukan ilmu sebelum mula menggunakannya. Jika belum bersedia ambil ASB Financing, simpan sahaja duit anda dengan ASB biasa. Jika nak tahu dengan lebih lanjut tentang pelaburan ASB Financing, boleh klik link dibawah.


7. Tabung Rumah


Jika kita hendak membeli rumah, kita perlu sediakan sebanyak 15% daripada harga rumah tersebut untuk pembayaran duit muka, yuran guaman dan serta kos lain - lain. Sebagai contoh, jika rumah yang hendak dibeli berharga RM300,000.00 satu unit, maka kita perlu sediakan RM45,000 untuk urusan pembelian rumah tersebut.

8. Tabung Kecemasan


Tabung kecemasan secara asas boleh dibuat dalam bentuk tiga peringkat iaitu peringkat tiga bulan gaji, peringkat enam bulan gaji atau peringkat satu tahun gaji dan tabung ini wajib ada bagi setiap keluarga atau individu. 

Sebagai contoh, jika gaji kita adalah RM2,000 sebulan maka, kita mulakan dengan peringkat pertama iaitu peringkat tiga bulan gaji. Jadi, kita perlu kumpul sebanyak RM6,000.00 secara keseluruhan, Apabila kita capai peringkat tiga bulan gaji, maka kita boleh pergi kepada peringkat enam bulan gaji dan seterusnya sampai 1 tahun gaji. 

Tabung kecemasan yang paling baik adalah peringkat 3 tahun gaji. Kenapa 3 tahun? Tempoh ini diambil berdasarkan kepada individu yang ingin berhenti kerja dan hendak mulakan bisnes. Secara dasar, suatu bisnes akan mula menampakkan hasil antara tahun kedua hingga tahun ketiga perniagaan.

9. Tabung Kahwin


Bila nak berkahwin, kedua - dua pasangan perlu peka tentang perihal kewangan terutama dari segi kos perbelanjaan yang akan digunakan. Jangan sesekali ambil mudah tentang perihal ini dan jangan sesekali berhutang dengan bank semata-mata ingin membuat majlis kahwin yang mewah. 

Buat satu perancangan tentang simpanan setiap bulan dan untuk berapa lama. Jika misalnya jangkaan kos perkahwinan adalah RM24,000.00 dan majlis akan dibuat dalam masa 3 tahun, maka pihak lelaki perlu simpan RM12,000.00 dan pihak perempuan perlu juga simpan RM12,000.00 secara keseluruhan. 

Satu pihak perlu simpan RM12,000.00 dalam tempoh 3 tahun, Maka, satu tahun simpanan adalah RM4,000.00 dan setiap bulan perlu simpan RM333.33 secara konsisten. Cukup tiga tahun, boleh laksankan perkahwinan tanpa fikirkan tentang bebanan hutang.

10. Tabung Hiburan


Tabung hiburan merupakan tabung untuk kita beli sesuatu yang mewah atau berharga tinggi samada suatu benda atau perkara lain seperti percutian. Contohnya, kita rancang nak pergi bercuti di suatu tempat bagi tenangkan fikiran. Jadi, kita simpan RM100.00 setiap bulan dan apabila tamat 12 bulan, kita dah sudah ada dana RM1,200 untuk pergi melancong dan berhibur.

Rumusan
Persoalannya, bila kita nak mulakan menabung? Jawapannya adalah sekarang. Mula menabung seawal mungkin dan sentiasa konsisten menyimpan dalam tabung tersebut. Perancangan kewangan yang baik dapat memberikan masa depan yang lebih kukuh dan cerah.

Saya faham bahawa amat sukar untuk kita mulakan 10 tabung sekali gus. Jangan risau, mulakan dengan hanya 2 - 3 tabung sahaja dahulu. Bila dah selesa, boleh naikkan kepada 4 - 5 tabung dan seterusnya sampai 10 tabung. Ingat, "consistency is the key".

Itu sahaja dari saya. Sekian, terima kasih. Jika ada apa - apa persoalan, boleh komen dibawah. Saya akan cuba jawab soalan - soalan yang diberikan dengan sebaik mungkin. 

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama