Saya merupakan seorang yang minat melabur dan salah satu cabang pelaburan tersebut adalah pelaburan ASB Financing. Saya mula melabur pada tahun 2019 dan masih lagi meneruskan pelaburan sehingga kini.
Pelaburan ASB Financing dapat memberikan pulangan yang baik dalam masa jangka panjang dengan menggunakan strategi yang betul dan tepat. Jadi, penulisan kali ini akan membincangkan tentang Amanah Saham Berhad Financing (ASB Financing).
Saya telah sediakan 22 soalan yang mungkin anda ingin tanya serta jawapan yang lengkap.
Penafian : Saya bukan pegawai bank dan saya tidak berpihak kepada mana-mana bank mahupun ASNB. Saya hanya rakyat Malaysia yang biasa dan segala penulisan saya adalah berdasarkan kepada pengalaman saya sendiri. Jangan melabur tanpa ilmu didalam dada.
Amanah Saham Berhad Financing (ASB Financing) merupakan satu cabang pelaburan dimana kita pinjam duit dengan bank dan duit tersebut dilaburkan terus ke dalam Amanah Saham Berhad (ASB).
Ringkasnya, kita pinjam duit dengan bank dan duit tersebut diletakkan dalam akaun ASB kita. Setiap bulan, kita lakukan pembayaran bulanan kepada pihak bank yang kita pinjam.
2. Apa Beza ASB Biasa dengan ASB Financing?
ASB Financing adalah kita pinjam duit dengan bank dan bank tersebut akan meletakkan duit pinjaman kita ke dalam akaun ASB kita. Kemudian, kita hanya perlu bayar kepada bank setiap bulan pada kadar bayaran yang telah ditetapkan dalam kontrak.
ASB Biasa pula adalah kita simpan duit kita sendiri ke dalam akaun ASB kita tanpa bergantung kepada kontrak mana-mana bank. Jadi, kita bebas untuk menyimpan seberapa banyak yang kita mahu pada setiap bulan. Kita juga boleh keluarkan semua duit kita dalam ASB kerana ita merupakan hak kita sendiri.
3. Adakah ASB Financing Lebih Untung berbanding ASB Biasa?
ASB Financing akan memberikan keuntungan yang lebih banyak dalam masa jangka panjang manakala ASB Biasa pula dapat memberikan keuntungan yang lebih banyak dalam masa jangka pendek.
Sebenarnya, ASB Financing dapat memberikan keuntungan yang lebih banyak dalam masa jangka pendek jika kadar dividen tahunan kita yang tinggi seperti kadar dividen pada 10 tahun lepas. Disebabkan ekonomi dunia kurang stabil yang menyebabkan kadar dividen ASB lebih rendah, maka kadar keuntungan ASB Financing lebih banyak dihasilkan dalam masa jangka panjang
Dengan kata lain, jika kita ingin melakukan pelaburan ASB dalam masa jangka panjang, disarankan untuk membuat pelaburan ASB Financing
4. Apa Kriteria Yang Perlu Ada Sebelum Melabur ASB Financing?
ASB Financing merupakan satu pelaburan yang baik tetapi beberapa kriteria yang perlu ada sebelum anda mula menyertai pelaburan ASB Financing.
Mempunyai Pendapatan Yang Stabil
Dengan kata lain, jika anda terpaksa ikat perut semata-mata untuk menyertai ASB Financing atau mempunyai kerja yang tidak memberikan pendapatan tetap, anda disarankan untuk tidak menyertai ASB Financing.
Boleh Lakukan Bayaran Bulanan Selama 5 Tahun Tanpa Miss
Dengan kata lain, anda perlu bersedia untuk bayar kepada bank setiap bulan selama 5 tahun ke hadapan secara konsisten. Jika anda rasa tempoh 5 tahun sangat lama dan anda tidak dapat lakukan pembayaran bulanan selama 5 tahun, anda disarankan untuk tidak menyertai ASB Financing. Saya ambil tempoh 5 tahun kerana tempoh 5 tahun merupakan waktu yang tepat untuk anda menggunakan teknik rolling dividen dalam ASB Financing milik anda. Boleh baca lebih lanjut tentang teknik rolling dividen dengan klik link dibawah.
Komitmen Bulanan Masih Lagi Rendah
Jika anda mempunyai gaji yang biasa tetapi komitmen anda banyak seperti bayaran bulanan kereta, bayaran bulanan rumah, bil telefon dan sebagainya, anda disarankan untuk tidak menyertai ASB Financing.
Boleh Lakukan Bayaran Bulanan Walaupun Kadar Faedah Naik
Kadar faedah yang digunakan bagi ASB Financing adalah floating rate (kadar faedah terapung). Maksudnya, jika kadar faedah asas yang ditentukan oleh Bank Negara naik, maka bayaran bulan ASB Financing juga akan naik. Ianya tidak sama seperti pinjaman kereta kerana pinjaman kereta menggunakan fixed rate (kadar faedah tetap). Dengan kata lain, bayaran bulanan kereta akan sama setiap bulan sampai tamat kontrak pinjaman.
Jika anda dapat menepati keempat-empat kriteria di atas, maka anda sudah bersedia untuk melakukan pelaburan ASB Financing jika anda mahu.
5. Apa Beza ASB Financing Dengan ASB Loan?
Tiada beza. Sesetengah pihak menggunakan istilah ASB Financing dan ada juga pihak yang menggunakan panggilan ASB Loan. Kedua-dua panggilan adalah sama sahaja. Biasanya, istilah ASB Financing lebih banyak digunakan oleh pihak bank kerana ASB Financing lebih terarah kepada pelaburan.
6. Apa Beza ASB Financing and ASB Financing-i?
Pelaburan ASB Financing akan terlibat dengan pinjaman bank. Jika sesuatu perkara terlibat dengan pinjaman bank, maka pinjaman tersebut boleh dibahagikan kepada dua jenis pinjaman iaitu pinjaman konvensional atau pinjaman islamik. Bagi orang Islam, kita perlu ambil pinjaman islamik untuk lakukan urusan pelaburan ASB Financing. Dengan kata lain, jika kita ingin melabur ASB Financing, kita perlu ambil ASBF Financing-i. Caranya mudah sahaja, apabila anda mahu buat ASB Financing, beritahu staf bank tersebut bahawa "Saya nak buat ASB Financing-i atau ASB Financing yang patuh syariah".
Kalau misalnya anda pernah buat ASB Financing tetapi tidak tahu sama ada ASB Financing yang anda buat itu jenis pinjaman konvensional atau islamik, anda boleh hubungi pegawai bank yang uruskan ASB Financing anda dan tanya tentang status ASB Financing anda. Jika berada dibawah pinjaman konvensional, minta pegawai bank tersebut tukar kepada pinjaman islamik.
7. Adakah ASB Financing Pelaburan Jangka Pendek Atau Jangka Panjang?
ASB Financing merupakan satu pelaburan jangka panjang. Tempoh matang yang paling sesuai adalah dalam masa 5 tahun manakala tempoh matang yang terbaik adalah sehingga tamat tempoh kontrak. Dengan kata lain, semakin lama anda melabur dalam ASB Financing, semakin banyak nilai pelaburan yang akan anda perolehi.
Tempoh matang disini bermaksud tempoh yang paling sesuai untuk anda terminate kontrak ASB Financing anda. Jadi, semasa tempoh ini, anda akan dapat kadar untung yang memuaskan hati anda jika anda ingin terminate kontrak anda.
8. Bagaimana Cara Nak Mohon Untuk Melabur ASB Financing?
Prosedur untuk melabur ASB Financing sangat mudah dan saya sudah sediakan langkah demi langkah tentang prosedur sebelum, semasa dan selepas melabur ASB Financing. Boleh klik link di bawah untuk ketahui lebih lanjut.
9. Adakah Rekod CCRIS Akan Tercalar Jika Kita Lewat Bayar Bulanan Kepada Bank?
Ya. Kita perlu ingat bahawa ASB Financing berkait dengan pinjaman wang dari bank. Jadi, jika kita terlewat bayar bulanan ataupun tidak bayar kerana kekurangan dana, rekod CCRIS kita akan tercalar. Untuk mencegah perkara ini dari berlaku, lebih baik anda terminate kontrak anda dengan bank. Boleh klik link di bawah untuk ketahui lebih lanjut tentang prosedur terminate kontrak ASB Financing.
10. Berapa Nilai ASB Financing Yang Boleh Dibuat
Nilai ASB Financing yang boleh dibuat bergantung kepada dua perkara. Pertama sekali, berapa baki sijil yang kita ada untuk dilaburkan dengan ASB Financing. Setiap rakyat Malaysia akan diberi maksimum 200,000 kuota sijil ASB dimana setiap sijil berharga RM1.00 setiap unit. Sekiranya kita sudah memiliki sebanyak 40,000 sijil dengan menggunakan duit kita sendiri, maka nilai maksimum yang kita boleh dilaburkan dengan menggunakan ASB Financing adalah sebanyak 160,000 unit sijil sahaja.
Kedua, kadar gaji dan komitmen bulanan kita. Katakan bahawa nilai maksimum yang kita boleh laburkan adalah 160,000 sijil tetapi disebabkan gaji kita sahaja sedikit dan komitmen kita sangat tinggi, maka pihak bank hanya membenarkan kita melabur dengan ASB Financing sebanyak 50,000 unit sahaja.
Dua perkara di atas amat penting dan akan diteliti oleh pihak bank untuk menentukan kadar ASB Financing yang boleh diberikan kepada kita.
11. Apakah Kebaikan Serta Keburukan ASB Financing Dengan ASB Biasa?
Bagi mengetahui tentang kebaikan dan keburukan ASB Financing dengan ASB Biasa, anda boleh klik link dibawah. Saya sudah buat penulisan yang terperinci dan jelas tentang perbandingan antara ASB Financing dengan ASB Biasa.
12. Umur Berapa Boleh Mulakan Pelaburan ASB Financing?
Biasanya dari umur 21 tahun hingga 60 tahun tetapi mungkin ada pihak bank yang membenarkan pelaburan ASB Financing dengan lebih awal.
13. Apa Itu Teknik Compounding Yang Ada Dalam ASB Financing?
Teknik compounding merupakan salah satu teknik yang digunakan dalam pelaburan ASB Financing. Ringkasnya, teknik compounding adalah kita bayar tiap-tiap bulan ASB Financing sampai tamat kontrak.
Bagi mengetahui tentang teknik compounding dalam ASB Financing, anda boleh klik link dibawah. Saya sudah buat penulisan yang terperinci dan jelas tentang teknik compounding dalam ASB Financing.
14. Apa Itu Teknik Rolling Dividen Yang Ada Dalam ASB Financing
Teknik rolling merupakan salah satu teknik yang digunakan dalam pelaburan ASB Financing. Ringkasnya, teknik rolling adalah kita bayar selama beberapa tahun sahaja. Kemudian, kita gunakan dividen yang kita sudah perolehi untuk buat bayaran bulanan kepada bank.
Bagi mengetahui tentang teknik rolling dividen dalam ASB Financing, anda boleh klik link dibawah. Saya sudah buat penulisan yang terperinci dan jelas tentang teknik rolling dividen dalam ASB Financing.
15. Bank Apa Yang Terbaik Untuk Saya Buat ASB Financing?
Semua bank boleh buat prose ASB Financing. Yang membezakannya adalah kadar faedah yang dikenakan serta prosedur yang ditetapkan. Sebaiknya anda pergi ke setiap bank dan bertanyakan tentang perihal ini. Kemudian, buatlah perbandingan antara bank-bank yang telah anda pergi dan pilih bank yang terbaik.
16. Apakah Dokumen Yang Diperlukan Untuk Buat ASB Financing?
Dokumen yang diperlukan adalah adalah kad pengenalan asli, salinan kad pengenalan dan slip gaji atau surat pengesahan gaji. Pastikan kad pengenalan tersebut masih boleh digunakan dan cip pada kad pengenalan anda tidak rosak.
17. Apa Itu Takaful Dalam ASB Financing Dan Apa Fungsi Takaful Tersebut?
Takaful yang ada dalam ASB Financing merupakan jenis takaful yang fungsinya sama seperti takaful dari syarikat-syarikat lain. Dengan kata lain, jika berlaku kemalangan, kita boleh tuntut wang dari pihak bank yang uruskan ASB Financing.
18. Adakah Patut Saya Ambil Takaful?
Pihak bank menyediakan takaful kepada kita kerana mereka itu sebahagian dari perniagaan mereka. Jika kita membuat ASB Financing dan ambil takaful, mereka akan bagi kadar faedah yang lebih rendah kepada kita tetapi nilai surrender value kita akan berkurang dengan lambat.
Anda boleh tanya seperti ini kepada pihak bank, "Berapa kadar faedah yang dikenakan kepada saya jika saya ambil takaful dan tak ambil takaful?". Kemudian, tanya lagi, "Berapa nilai takaful paling rendah yang saya boleh ambil dan berapa tahun ikat takaful tersebut?". Jangan takut untuk bertanya sebab itu hak kita.
Pendapat saya, jika tiada keperluan untuk ambil takaful atau anda sudah ada takaful sendiri, tak perlu ambil takaful dibawah ASB Financing dari pihak bank berkait. Sebaliknya, jika anda belum ada takaful dan inginkan pembayaran bulanan yang lebih rendah, boleh ambil takaful tetapi pastikan anda bertanyakan dahulu pada pihak bank tentang perihal ini. Untuk penerangan lebih lanjut, boleh klik link dibawah.
19. Ada Caj Dan Pembayaran Tak Kalau Ambil ASB Financing?
Ada dua pembayaran sahaja yang dicaj jika nak buat ASB Financing. Pertama, nak buka akaun ASB Financing dikenakan bayaran sebanyak RM50.00 sahaja. Kedua, duti setem dikenakan pembayaran sebanyak RM10.00 sahaja. Kedua-dua pembayaran ini dibuat sekali sahaja.
Bergantung kepada bank, ada bank yang meminta kita bayar terus RM60.00 seperti Maybank. Ada bank hanya akan tolak baki dari keuntungan kita sebanyak RM60.00 setelah kita terminate kontrak nanti.
Saya sarankan berhati-hati jika hendak buat dengan mana-mana ejen yang tidak dikenali supaya tidak akan ditipu. Jika ada ejen yang mengenakan cas tambahan selain dari RM60.00 diatas, maka tersebut kemungkinan besar bahawa orang tersebut bukan ejen sebenar. Cara paling selamat adalah pergi ke cawangan bank terus.
20. Apa Perlu Saya Buat Jika Sudah Tak mampu Nak Bayar Bulanan ASB Financing?
Jika kita memang betul-betul tak mampu hendak bayar komitmen bulanan ASB Financing, maka jalan terbaik adalah terminate kontrak ASB Financing yang telah kita buat. Boleh klik link di bawah untuk ketahui lebih lanjut tentang prosedur terminate kontrak ASB Financing.
21. Adakah Waktu Sekarang Sesuai Untuk Mohon ASB Financing?
Sebenarnya, tiada waktu yang dipanggil waktu sesuai jika mahu melabur. Waktu terbaik adalah 10 tahun lepas manakala waktu kedua terbaik adalah sekarang. ASB Financing merupakan pelaburan berkaitan pinjaman bank dan anda perlu penuhi keempat-empat kriteria dibawah sebelum nak buat ASB Financing. Jika anda mempunyai keempat-empat kriteria dibawah, maka anda boleh buat ASB Financing. Jika anda belum cukup kriteria dibawah walaupun tak cukup satu sahaja, saranan saya jangan buat ASB Financing.
Mempunyai Pendapatan Yang Stabil
Dengan kata lain, jika anda terpaksa ikat perut semata-mata untuk menyertai ASB Financing atau mempunyai kerja yang tidak memberikan pendapatan tetap, anda disarankan untuk tidak menyertai ASB Financing.
Boleh Lakukan Bayaran Bulanan Selama 5 Tahun Tanpa Miss
Dengan kata lain, anda perlu bersedia untuk bayar kepada bank setiap bulan selama 5 tahun ke hadapan secara konsisten. Jika anda rasa tempoh 5 tahun sangat lama dan anda tidak dapat lakukan pembayaran bulanan selama 5 tahun, anda disarankan untuk tidak menyertai ASB Financing. Saya ambil tempoh 5 tahun kerana tempoh 5 tahun merupakan waktu yang tepat untuk anda menggunakan teknik rolling dividen dalam ASB Financing milik anda. Boleh baca lebih lanjut tentang teknik rolling dividen dengan klik link dibawah.
Komitmen Bulanan Masih Lagi Rendah
Jika anda mempunyai gaji yang biasa tetapi komitmen anda banyak seperti bayaran bulanan kereta, bayaran bulanan rumah, bil telefon dan sebagainya, anda disarankan untuk tidak menyertai ASB Financing.
Boleh Lakukan Bayaran Bulanan Walaupun Kadar Faedah Naik
Kadar faedah yang digunakan bagi ASB Financing adalah floating rate (kadar faedah terapung). Maksudnya, jika kadar faedah asas yang ditentukan oleh Bank Negara naik, maka bayaran bulan ASB Financing juga akan naik. Ianya tidak sama seperti pinjaman kereta kerana pinjaman kereta menggunakan fixed rate (kadar faedah tetap). Dengan kata lain, bayaran bulanan kereta akan sama setiap bulan sampai tamat kontrak pinjaman.
22. Saya Sudah Lepasi Tiga Dari Empat Kriteria Di Atas. Boleh Saya Mohon ASB Financing?
Jika anda belum cukup semua kriteria di atas walaupun tak cukup satu sahaja, saranan saya, jangan buat ASB Financing. Saya dah jumpa ramai orang yang tak lepasi keempat-empat kriteria diatas tetapi masih juga mahu mohon ASB Financing. Kesannya, dalam sebulan dua sahaja, sudah mahu terminate kontrak ASB Financing.
Ingat, sesetengah bank mempunyai lock-in period dimana kita perlu membayar denda jika kita terminate lebih awal dari tempoh lock-in period yang telah ditetapkan. Untuk tahun berapa lama tempoh lock-in period, boleh tanya pihak bank sendiri. Ada sesetengah bank tidak mempunyai tempoh lock-in period.
22. Kenapa Ada Orang Tak Suka ASB Financing?
Tak kenal maka tak cinta. Kebanyakan orang yang tak suka ASB Financing mungkin kerana belum kenal sepenuhnya tentang ASB Financing. Jika mereka kenal struktur pelaburan ASB Financing sebenar serta bagaimana pelaburan ini berfungsi, maka sudah tentu mereka akan suka tentang pelaburan ini.
Rumusan
Secara dasarnya, pelaburan ASB Financing ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Sebelum ingin melabur, penuhkan hati dan minda dulu dengan pelbagai ilmu kewangan. Fahamkan dulu bagaimana pelaburan ini berfungsi. Bertanyakan kepada yang arif serta mereka yang tahu.
Itu sahaja dari saya untuk penulisan kali ini. Jika ada apa - apa persoalan, boleh komen dibawah. Saya akan cuba jawab soalan - soalan yang diberikan dengan sebaik mungkin. Sekian, terima kasih.