10 Tips Dalam Penulisan Resume Untuk Bantu Anda Mendapatkan Jawatan Yang Diingini


Majikan syarikat biasanya akan menggunakan resume yang dihantar oleh calon sepanjang proses pengambilan pekerja untuk mengetahui dengan lebih lanjut sama ada calon tersebut sesuai atau tidak dengan jawatan yang diperlukan.

Resume yang ditulis perlu mudah dibaca, memberitahu pencapaian dan kemahiran dengan ringkas serta menyatakan pengalaman kerja bagi bidang yang berkaitan

Penulisan kali ini akan memberitahu 10 tips yang boleh digunakan untuk menolong anda menulis resume dengan baik.

Tips Dalam Penulisan Resume
Setiap resume mempunyai gaya penulisan dan penyampaian yang berbeza. Walaubagaimanapun, gaya tersebut perlu mencerminkan tentang pendidikan, pengalaman serta kemahiran yang anda miliki.

Anda mungkin perlu menulis lebih daripada satu resume, mengikut kepada permohonan kerja yang dibuat. Berikut merupakan beberapa tips yang dapat membantu anda mencipta dan menulis resume dengan lebih baik.

1. Cari Kata Kunci Dan Frasa Yang Digunakan Dalam Iklan Kerja
Perkara pertama yang perlu anda buat adalah baca penerangan kerja (job description) yang ingin dimohon dan cari kata kunci serta frasa yang diletakkan dalam iklan tersebut. Setiap jawatan kosong yang ditawarkan akan mempunyai penerangan kerja serta kata kunci yang berbeza. Majikan akan meletakkan kata kunci yang spesifik bagi mencari calon yang ideal dengan jawatan yang ditawarkan.

Sebagai contoh, jika anda ingin mohon kerja sebagai seorang akauntan, majikan mungkin akan meletakkan kata kunci seperti percukaian, imbangan duga, kewangan atau sistem perakaunan dalam penerangan kerja. 

Pastikan anda perhatikan pada bahagian penerangan kerja yang berlabel Keperluan (Requirement) atau Kelayakan (Qualifications). 

Jika anda mempunyai kemahiran yang dicari oleh majikan, anda boleh meletakkan frasa yang sama dalam resume pada bahagian Kemahiran atau Pengalaman.

2. Cari Dan Semak Asas Resume Mengikut Industri Tertentu
Sebelum anda mula buat resume, pastikan anda kaji dan selidik dahulu contoh-contoh resume yang digunakan dalam industri tertentu. Pilih contoh resume yang terbaik dan profesional dan pastikan resume tersebut mempunyai tiga perkara asas.

Ringkas Dan Mudah Dibaca
Secara purata, majikan hanya melihat resume anda selama 6 ke 7 saat sahaja. Dalam tempoh masa tersebut, majikan ingin mencari kata kunci atau frasa yang dimahukan dalam resume anda.

Dengan kata lain, jika majikan tidak jumpa kata kunci tersebut dalam tempoh masa berkenaan, kemungkinan besar resume anda akan ditolak. Jadi, pastikan resume tersebut ringkas dan mudah dibaca.

Pendek Dan 'Straight To The Point'
Setiap bahagian dalam resume perlu ditulis pendek dan straight to the point. Anda tak perlu masukkan info yang tidak relevan. Paling mudah, masukkan sahaja kata kunci atau frasa berdasarkan pengalaman dan kemahiran yang anda miliki.

Dengan kata lain, anda mahu majikan tersebut memahami diri anda dengan lebih cepat dan seterusnya, dapat meningkatkan peluang anda untuk mendapatkan jawatan tersebut.

Nombor Sebagai Indikator
Dalam penulisan resume, nombor merupakan indikator paling mudah untuk dijadikan sebagai sesuatu ukuran. Ada juga maklumat yang tidak boleh digunakan sebagai indikator.

Sebagai contoh, jika anda menulis "Mempunyai sikap kepimpinan yang bagus", majikan tidak akan dapat menilai perkara tersebut kerana tiada indikator yang boleh digunakan.

Jadi, apa yang perlu anda buat ialah menggubah ayat tersebut dengan menggunakan nombor sebagai indikator. Sebagai contoh, "Memimpin 50 orang dalam mengendalikan projek berkaitan pembinaan di Damansara pada tahun 2013".

Anda perlu ingat bahawa indikator di atas hanyalah sebagai contoh sahaja. Jadi, anda boleh ubahsuai indikator tersebut berdasarkan kepada pengalaman, kemahiran serta kerja yang akan dimohon.

3. Gunakan Format Tulisan Yang Profesional
Penulisan resume anda perlu jelas dan mudah untuk dibaca. Gunakan format tulisan Arial atau Times New Roman dalam penulisan resume. Pastikan tulisan dalam resume menggunakan saiz 10 hingga saiz 12 sahaja.

Penggunakan tulisan yang jelas dan mudah dibaca akan buatkan resume anda kelihatan lebih profesional. Jangan sesekali anda menggunakan format tulisan berangkai atau susah untuk dibaca.

Selain itu, pastikan resume anda tidak mempunyai ruang kosong yang terlalu banyak. Dengan kata lain, penggunaan format dan saiz tulisan yang sesuai sangat penting untuk mengisi setiap ruang dalam resume dan meminimumkan ruang kosong yang ada.

Dengan mengurangkan ruang kosong dalam resume, majikan dapat menumpukan sepenuh perhatian pada kandungan resume dan bukannya pada ruang kosong yang tidak terisi.

Anda boleh meminimumkan ruang kosong dengan meningkatkan saiz tulisan dalam resume kepada saiz 12. Jika masih ada ruang kosong yang banyak, anda boleh menambah lagi penulisan pada bahagian kemahiran, pengalaman dan pencapaian dalam resume yang selari dengan kerja yang dimohon.

4. Letak Maklumat Yang Relevan Pada Permulaan Resume
Walaupun anda mempunyai pengalaman kerja atau pendidikan yang tinggi, tetapi ianya sangat penting untuk memastikan resume anda ditulis seringkas mungkin tanpa meninggalkan maklumat-maklumat penting. 

Menurut kajian, majikan hanya melihat resume selama 6 saat sahaja.  Jika resume anda mengandungi maklumat yang tidak relevan seperti pengalaman kerja 10 tahun lepas atau pencapaian yang kecil, perkara ini dapat mengalihkan perhatian majikan daripada melihat maklumat yang penting.

Cuba masukkan pengalaman kerja, pencapaian, pendidikan dan kemahiran yang berkaitan dengan kerja serta relevan dengan majikan. Dengan kata lain, perkara yang relevan dapat menarik perhatian majikan dan seterusnya meningkatkan peluang anda untuk mendapatkan jawatan tersebut

5. Gunakan Bahasa Yang Aktif
Penulisan resume anda harus menggunakan bahasa yang aktif yang tidak berlebihan. Contoh bahasa yang aktif adalah mencapai, menamatkan atau memperolehi. Jika penulisan resume anda terlalu panjang, anda perlu ringkaskan dan pendekkan penulisan tersebut.

Sebagai contoh, anda mungkin menulis ayat dalam resume anda seperti berikut:
Semasa saya bekerja di syarikat ABC Enterprise, saya mengendalikan beberapa projek dan menolong ahli kumpulan saya dalam pelbagai tugas yang berkaitan dengan projek tersebut.

Anda boleh meringkaskan dan menguatkan lagi penulisan di atas dengan menggunakan ayat dibawah:
Mengetuai pelbagai projek berlainan dan menyelaraskan tugas kumpulan dengan efektif.

Penulisan yang dibuat perlu menyatakan idea yang sama tetapi ditulis dengan lebih ringkas dan menggunakan bahasa yang aktif

6. Letakkan Pencapaian Dan Kemahiran Penting
Pilih dan letakkan hanya tiga atau empat pencapaian yang paling penting dan berkait dengan kerja yang dimohon. Jika boleh, anda masukkan nombor sebagai indikator untuk mengukur suatu kejayaan atau pencapaian anda. Sebagai contoh, "Mengendalikan 10 projek berkaitan dengan pembinaan bangunan di Damansara"

Anda juga boleh memasukkan bahagian Pencapaian atau Kemahiran secara berasingan untuk menyerlahkan lagi pencapaian yang berkaitan secara khusus dalam pendidikan, kerjaya, kerja sukarela atau pengalaman.

7. Letakkan Tajuk dan Bahagian Yang Penting Sahaja
Jika anda menggunakan templat resume yang ada di internet, mungkin ada beberapa bahagian dalam resume tersebut yang anda tidak perlu letak.

Sebagai contoh, anda mungkin memerlukan ringkasan resume atau objektif resume, tetapi anda tidak boleh memasukkan kedua-duanya sekaligus.

Jika anda baru sahaja menamatkan pengajian dari universiti atau sekolah menengah dan belum lagi memegang jawatan profesional, anda tidak boleh masukkan sejarah kerja tetapi anda juga tidak boleh meninggalkan ruangan tersebut kosong.

Sebaliknya, anda mungkin menggantikan bahagian sejarah kerja dengan meletakkan kerja kursus yang berkaitan di universiti, pencapaian akademik dan pengalaman lain seperti latihan amali atau projek akhir tahun.

8. Pilih Margin Yang Sesuai
Biasanya, penulisan resume hanya menggunakan saiz margin 1 inci sahaja bagi setiap sisi dengan single space. Jika resuma anda mengandungi terlalu banyak ruang kosong, anda boleh mengubah single space kepada 1.15 atau 1.5 sahaja. Anda juga boleh mengubah saiz marjin lebih besar tetapi pastikan ianya kurang dari 2 inci.

9. Proofread dan Sunting Resume
Sebelum anda menghantar resume anda, anda perlu proofreading bagi memastikan tiada kesilapan dari segi ejaan atau tatabahasa. Walaupun terdapat aplikasi atau perisian yang boleh membuat proofread, tetapi ianya lebih baik disemak dengan mereka yang pakar dalam bidang ini.

Jika ada kesilapan dalam resume anda, anda perlu menyunting resume tersebut dengan segera dan perbaiki benda yang salah.

10. Tentukan Sama Ada Anda Perlukan Resume Berbeza Bagi Setiap Pekerjaan Yang Dimohon
Jika anda memohon suatu pekerjaan yang memerlukan keperluan atau kemahiran yang unik, maka anda mungkin perlu menulis resume yang lain untuk menunjukkan kelayakan anda sepenuhnya.

Resume anda selalunya merupakan langkah pertama untuk mendapatkan temu duga dengan majikan. Pastikan anda memasukkan maklumat yang paling relevan pada resume anda. 

Kemudian, maklumat tersebut perlu disusun untuk menyerlahkan lagi penulisan. Paling penting, anda perlu menyemak kesilapan yang ada dalam resume tersebut.

Rumusan
Penulisan resume yang betul dapat meningkatkan lagi peluang anda untuk ditemuduga dan seterusnya, mendapatkan jawatan tersebut. Jadi, resume boleh dikatakan sebagai "first impression" yang akan ditunjukkan kepada majikan.

Itu sahaja dari saya untuk penulisan kali ini. Jika ada apa - apa persoalan, boleh komen dibawah. Saya akan cuba jawab soalan - soalan yang diberikan dengan sebaik mungkin. Sekian, terima kasih.

Catat Ulasan

Terbaru Lebih lama