Isi kandungan yang ada dalam permohonan kerja anda merupakan langkah pertama untuk mempersembahkan diri anda dari segi pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kepada bakal majikan syarikat tertentu. Oleh itu, sangat penting bagi anda untuk menulis permohonan kerja dengan betul dan profesional.
Penulisan kali ini akan membincangkan tentang proses permohonan kerja serta menerangkan tentang enam langkah mudah dan berkesan yang perlu dibuat bagi memohon pekerjaan yang anda mahukan.
Permohonan kerja merupakan dokumen rasmi yang meringkaskan tentang pendidikan serta pengalaman kerja anda dan akan diserahkan kepada bakal majikan yang berpotensi mengikut kepada tahap kemahiran serta aliran pembelajaran permohon.
Dokumen tersebut akan mengandungi maklumat-maklumat sulit pemohon yang akan disemak oleh kakitangan pengambilan pekerja ataupun perekrut syarikat.
Selain daripada menghantar resume, kebanyakan syarikat akan menyuruh pemohon untuk mengisi borang permohonan kerja secara digital kerana ianya lebih mudah serta lebih cepat untuk sampai kepada perekrut syarikat.
Sesetengah syarikat pula akan meminta pemohon untuk mengisi borang permohonan kerja dengan menggunakan tulisan tangan. Biasanya, situasi ini berlaku semasa proses temuduga secara berhadapan ataupun sebelum proses onboarding.
Borang permohonan kerja merupakan dokumen yang boleh dipertahankan secara sah dan ianya sangat penting bagi pemohon untuk melengkapkannya dengan maklumat yang betul serta sahih.
Kebiasaanya, perekrut syarikat akan meletakkan borang permohonan kerja sebagai dokumen tambahan yang wajib selain daripada resume dan cover letter.
Jika anda ingin tahu tentang apa yang terjadi kepada resume anda setelah permohonan kerja dibuat ataupun ingin dapatkan tips supaya permohonan kerja anda berjaya, boleh klik link dibawah.
Cara Untuk Buat Permohonan Kerja Dengan Betul
Berikut merupakan 6 langkah yang boleh dibuat untuk mohon kerja mengikut matlamat kerjaya anda.
1. Mula Cari Pekerjaan Mengikut Bidang Anda
Kajian dari Pew Research Center menyatakan bahawa hampir 80% pemohon pada tahun 2015 telah menggunakan internet sebagai langkah utama dalam mencari pekerjaan.
Peratusan tersebut berkemungkinan akan meningkat dari semasa ke semasa sejak kajian tersebut diterbitkan.
Faktor peningkatan tersebut mungkin disebabkan oleh perkembangan internet diseluruh dunia yang menjadi semakin pesat. Ini jelas menunjukan bahawa mencari kerja melalui internet merupakan satu perkara biasa pada masa kini.
Antara laman web yang terkenal dan digunakan untuk mencari kerja adalah MauKerja, Indeed Job, dan LinkedIn. Laman web seperti diatas dapat memudahkan anda untuk berhubung dengan majikan yang mencari kemahiran dan pengalaman yang diperlukan
Jika anda ingin tahu tentang langkah-langkah yang perlu dibuat untuk mencari suatu kerja yang diidamkan, boleh klik link dibawah.
2. Cari Syarikat Yang Mahu Mengambil Pekerja
Jika anda mahu mencari pekerjaan dan bukannya mencari syarikat, pastikan anda selidik dahulu setiap syarikat yang anda mahu memohon.
Langkah yang paling utama adalah pergi ke lawan web syarikat terbabit dan klik halaman Tentang Kami (About Us). Halaman ini akan menceritakan tentang pengenalan kepada syarikat terbabit serta intipati perniagaan yang dibuat.
Selain itu, anda juga perlu membuat carian tentang nama syarikat terbabit untuk mengetahui sebarang isu, berita, peristiwa semasa atau ulasan tentang syarikat tersebut.
Setelah anda selesai mengumpul maklumat yang secukupnya dalam internet, anda boleh berhubung dengan orang yang sedang atau pernah bekerja dengan syarikat terbabit.
Apabila anda dapat menjalinkan rangkaian hubungan dengan mereka (pekerja), sedikit sebanyak anda akan dapat merasakan tentang suasana dan budaya yang sebenar dalam syarikat tersebut
3. Sediakan Resume Yang Lengkap Untuk Dihantar
Sediakan resume yang lengkap dan pastikannya ianya sentiasa dikemaskini dan disesuaikan dengan kerja yang akan dimohon.
Pertama sekali, pastikan anda meletakkan tahap pendidikan tertinggi, pengalaman kerja serta kemahiran yang dimiliki dalam resume tersebut. Utamakan pendidikan dahulu, baru senaraikan tentang pengalaman pada setiap bahagian dalam resume.
Sebagai contoh, jika anda merupakan seorang graduan perbankan, anda letakkan tahap pengajian anda dalam resume tersebut, pengalaman kerja anda dalam bidang perbankan atau kewangan, serta kemahiran anda dalam bidang tersebut.
Anda boleh mengubahsuai resume anda mengikut pekerjaan yang ingin dimohon. Caranya adalah dengan menyemak huraian kerja (job description) dan menggunakan kata kunci yang bersesuaian dengan keperluan kerja.
Pastikan anda dahulukan kemahiran serta pengalaman kerja yang berkait dengan kerja yang ingin dimohon jika bidang pendidikan tidak selari dengan kerja tersebut.
Sebagai contoh, katakan bahawa anda ingin mohon kerja sebagai pereka. Anda sudah mempunyai kemahiran dan pengalaman dalam bidang tersebut tetapi tahap pendidikan anda adalah bidang perbankan.
Jadi, penulisan resume anda perlu didahulukan dengan kemahiran dan pengalaman yang anda miliki, kemudian diikuti dengan tahap pendidikan.
4. Tentukan Sama Ada Cover Letter Diperlukan Atau Tidak
Pada zaman sekarang, cover letter biasanya tidak diperlukan untuk mohon kerja. Walaubagaimanapun, masih ada sebahagian syarikat yang mahukan cover letter sebagai syarat untuk mohon kerja.
Jika anda perlu menghantar cover letter, pastikan cover letter tersebut dapat menyerlahkan lagi resume anda. Dengan kata lain, cover letter tersebut perlu membantu anda dan bukan hanya bertindak sebagai dokumen sampingan sahaja.
Jika anda hendak tahu sama ada cover letter masih relevan atau tidak untuk disertakan dalam permohonan kerja, boleh klik link dibawah.
5. Hantar Resume Dan Permohonan Atas Talian
Sebaik sahaja anda telah sediakan resume dan cover letter (jika perlu), anda hanya perlu melayari laman web dan mengisi permohonan kerja ke syarikat tersebut.
Setelah itu, permohonan kerja tersebut perlu dilampirkan sekali dengan resume, cover letter (jika perlu) serta dokumen-dokumen yang berkaitan.
Pastikan anda menjawab setiap soalan dengan teliti dan setiap jawapan harus mengikut kepada keperluan syarikat. Jika anda ingin dapatkan tips dalam penulisan resume, boleh klik link dibawah.
6. Buat Susulan Permohonan Kerja
Pihak pengambilan pekerja akan memerlukan masa untuk melihat dan menilai resume dan permohonan yang dihantar. Selepas buat permohonan, tunggu dahulu dalam masa dua minggu.
Kemudian, anda buat susulan permohonan kerja terbabit untuk menyemak status permohonan anda. Ini dapat memberikan mereka tempoh masa yang mencukupi untuk memilih calon yang tepat dan menjadikan diri anda kelihatan lebih profesional.
Anda boleh menyerahkan surat susulan permohonan dalam bentuk e-mel kepada pihak pengambilan pekerja jika anda mempunyai maklumat berkaitan dengan permohonan terbabit.
Jika tiada maklumat, anda boleh menghubungi syarikat terbabit dan minta untuk bercakap dengan pihak pengambilan pekerja bagi jawatan tersebut. Jika anda ingin tahu tentang cara untuk buat susulan permohonan kerja, boleh klik link dibawah.
Tips Kepada Pemohon
Sebelum anda memohon pekerjaan, anda boleh ikuti tips dibawah bagi membuat persediaan dengan lebih baik.
1. Semak Ketetapan Media Sosial Anda
Pertama, anda perlu menyemak ketetapan serta isi kandungan media sosial anda. Pastikan anda tetapkan media sosial anda dalam status privasi.
Jangan sesekali anda menulis sesuatu yang akan dapat menggugat permohonan kerja anda seperti penggunaan bahasa yang tidak baik dalam media sosial anda.
Dengan kata lain, platform media sosial milik anda perlu menunjukkan sifat profesional yang ada dalam diri.
2. Cari Pengurus Pengambilan Pekerja Dengan Menggunakan Internet
Dengan menggunakan media sosial, anda boleh berhubung dengan pihak pengurusan syarikat yang anda minati.
Ini akan membolehkan anda berhubung dengan pengurus terbabit dan dapat menonjolkan diri anda sebagai calon yang baik.
3. Berkenalan Dengan Pekerja Syarikat Terbabit
Berhubung dengan pekerja-pekerja di syarikat terbabit untuk mengetahui bagaimana rasanya bekerja di sana, apa yang mereka ingin cari dalam pekerja serta budaya perniagaan.
Rumusan
Permohonan kerja merupakan langkah pertama yang perlu dibuat bagi mendapatkan kerja yang anda mahukan. Sudah tentu, mendapatkan kerja yang anda ingini bukan perkara yang mudah. Sentiasa berusaha dan tingkatkan kemahiran setiap hari sehinggalah anda dapat kerja yang diidamkan.
Itu sahaja dari saya untuk penulisan kali ini. Jika ada apa - apa persoalan, boleh komen dibawah. Saya akan cuba jawab soalan - soalan yang diberikan dengan sebaik mungkin. Sekian, terima kasih.
Tags
Kerja