Proses permohonan kerja di atas talian telah membuatkan permohonan kerja bagi suatu jawatan menjadi lebih mudah.
Setiap hari, anda mungkin mohon beberapa jenis kerja di atas talian tetapi tidak tahu apa yang berlaku kepada resume anda selepas permohonan kerja dibuat.
Kadang-kala, anda mungkin akan menerima maklum balas dari pihak kakitangan pengambilan pekerja. Ada juga permohonan kerja yang dibuat tidak mendapat sebarang respon.
Penulisan kali ini akan membincangkan tentang proses permohonan kerja dengan lebih mendalam supaya anda akan lebih faham apa yang akan berlaku dengan resume yang dihantar bagi tujuan permohonan kerja bagi suatu jawatan tertentu.
Apa Yang Akan Berlaku Apabila Resume Telah Dihantar?
Secara asasnya, tiada langkah tetap yang diikuti oleh setiap syarikat dalam proses pengambilan pekerja. Setiap syarikat mempunyai cara tersendiri dalam memilih calon yang terbaik untuk diambil sebagai pekerja.
Ada syarikat yang meletakkan prosedur yang wajib diikuti semasa proses pengambilan pekerja. Ada juga syarikat yang tidak meletakkan sebarang langkah wajib untuk menjalankan proses yang sama.
Proses permohonan kerja bergantung kepada sesuatu jawatan serta industri dalam jawatan tersebut. Sesetengah syarikat akan menjalankan proses temuduga dan terus memilih calon yang sesuai dalam tempoh beberapa hari sahaja.
Ada juga posisi dalam syarikat mengambil tempoh masa yang agak lama iaitu sehingga enam bulan untuk diisi dengan calon yang sesuai bagi satu jawatan.
Kebanyakan jawatan yang mengambil tempoh masa yang lama disebabkan oleh banyak proses yang perlu dihadapi oleh calon seperti sesi temuduga, peperiksaan dan sebagainya bagi memilih calon yang terbaik.
Proses Pengambilan Pekerja Setelah Resume Dihantar
Dibawah merupakan langkah yang biasanya diambil oleh syarikat tertentu dalam proses pengambilan pekerja selepas sahaja resume telah dihantar.
1. Sistem Perisian Akan Mengimbas Kata Kunci Dalam Resume
Proses untuk menyemak beratus resume yang dihantar oleh pemohon merupakan satu proses yang panjang dan memerlukan masa yang sangat lama.
Oleh itu, kebanyakan syarikat telah melaburkan dana untuk membeli dan mengguna pakai alat perisian (software tools) yang boleh mengumpul dan membaca data dalam resume yang dapat menghasilkan maklumat penting.
Maklumat tersebut dapat membantu untuk mengurangkan jumlah pemohon yang tidak relevan serta memilih calon-calon yang terbaik untuk jawatan tersebut.
Sistem yang dimaksudkan dipanggil sebagai sistem penjejakan pemohon (SPP) atau applicant tracking system (ATS). Sistem ini dapat menolong rekruter untuk mengumpul, menyusun, dan menguruskan seluruh proses pengambilan pekerja bagi mana-mana jawatan yang terlibat
Sistem penjejakan pemohon (SPP) dapat membandingkan kemahiran yang dinyatakan dalam resume anda dengan kata kunci atau frasa yang berkaitan dengan bidang kerja tersebut.
Sebagai contoh, jika sesebuah syarikat memerlukan seorang pembangun Java (Java developer) yang mempunyai tempoh pengalaman selama 5 tahun, sistem penjejakan pemohon (SPP) akan mengimbas resume anda untuk mencari kata kunci atau frasa berkaitan dengan Java serta tempoh pengalaman anda.
Sistem penjejakan pemohon (SPP) juga akan mengimbas jawatan pekerjaan yang berkenaan serta syarat tambahan yang telah ditetapkan oleh syarikat.
Secara mudahnya, sistem penjejakan pemohon (SPP) akan menyemak semua maklumat yang terdapat dalam resume dari awal sampai akhir.
Proses ini dibuat untuk memastikan bahawa segala maklumat yang ada dapat dikumpul dan akan selari dengan kata kunci atau frasa yang telah ditetapkan.
Jika resume anda tidak mempunyai kata kunci atau frasa yang telah ditetapkan dalam sistem tersebut, berkemungkinan besar yang resume anda akan ditolak dan seterusnya, permohonan kerja anda juga tidak akan berjaya.
Setelah proses ini selesai, sistem penjejakan pemohon (SPP) akan memilih sendiri senarai calon yang terbaik secara automatik untuk jawatan tersebut.
Proses ini mungkin akan mengambil masa beberapa hari hingga beberapa minggu tetapi ia dapat memudahkan urusan rekruter untuk memilih bilangan calon yang cukup besar untuk dibawah ke peringkatan seterusnya iaitu semakan secara manual.
Dengan kata lain, dari beratus-ratus resume yang dihantar oleh pemohon, mungkin calon yang lulus untuk ke peringkat semakan secara manual hanya dalam lingkungan puluhan sahaja.
Oleh itu, penulisan resume anda sangat-sangat penting dan kata-kata kunci yang diletakkan dalam suatu resume perlu menepati dengan jawatan-jawatan yang ditetapkan.
2. Rekruter Atau Melengkapkan Semakan Awal
Setelah sistem penjejakan pemohon (SPP) telah memilih senarai calon yang terbaik, rekruter akan meneruskan proses seterusnya.
Dalam proses ini, pemilihan yang dibuat adalah berbeza dari syarikat masing-masing. Kebiasaannya, pemilihan yang dibuat bergantung kepada beberapa faktor termasuk saiz organisasi, struktur organisasi serta jawatan yang dimohon.
Secara amnya, rekruter akan menyemak senarai calon yang dihasilkan oleh sistem penjejakan pemohon (SPP) dan memeriksa maklumat yang mungkin terlepas atau tidak dapat ditafsirkan oleh sistem penjejakan pemohon (SPP). Antara maklumat yang berkait adalah seperti dibawah.
- Kualiti latar belakang pendidikan
- Kemahiran insaniah (Soft skills)
- Kerja-kerja sukarelawan
- Butiran pengalaman kerja
Semasa proses semakan, rekruter akan mengeluarkan mana-mana permohonan yang tidak memenuhi kelayakan yang ditetapkan oleh syarikat. Biasanya, bilangan calon yang dipilih oleh rekruter adalah kurang berbanding dipilih oleh sistem.
Sebagai contoh, jika sistem memilih dalam 80 orang yang terbaik dan menepati kata kunci serta frasa yang telah ditetapkan, rekruter pula mungkin akan memilih dalam lingkungan separuh dari jumlah berkenaan iaitu 40 orang sahaja.
Mereka juga akan mengasingkan dan menyusun balik senarai resume dengan sebaik mungkin supaya calon yang akan dihubungi nanti merupakan calon terbaik dan sepadan dengan kriteria yang telah dinyatakan.
Oleh itu, saya galakkan anda untuk menulis resume dengan menggunakan format yang ringkas serta mudah untuk dibaca.
Selain itu, penggunaan bahasa dalam resume dan cover letter juga perlu jelas dan padat. Tujuannya adalah untuk membantu sistem pengesanan pemohon (SPP) dan rekruter untuk menyusun, membaca dan memahami maklumat relevan yang terdapat dalam dokumen berkenaan.
3. Kumpulan Pengambilan Pekerja Akan Menyemak Resume Dan Memilih Calon
Pada peringkat ini, rekruter biasanya akan memaklumkan kepada kumpulan pengambilan pekerja untuk menyemak tentang calon-calon terbaik yang telah dipilih oleh mereka.
Biasanya, pada peringkat ini, bilangan calon yang dipilih oleh kumpulan pengambilan pekerja adalah kurang berbanding yang dipilih oleh rekruter.
Sebagai contoh, jika rekruter memilih dalam 40 orang yang terbaik setelah membuat semakan secara manual, kumpulan pengambilan pekerja pula mungkin akan memilih dalam lingkungan separuh dari jumlah berkenaan iaitu 20 orang sahaja.
Kumpulan pengambilan pekerja akan menyemak senarai calon yang diberikan dan memilih beberapa orang calon untuk disenarai pendek sebagai senarai utama untuk ditemuduga.
Biasanya, senarai utama hanya mempunyai bilangan calon yang sangat sedikit sahaja dari senarai asal tetapi mereka akan memilih beberapa orang calon untuk diletakkan dibawah senarai tambahan sekiranya calon-calon dalam senarai utama dirasakan tidak sesuai atau sudah menerima tawaran kerja yang lain.
Proses ini mungkin akan mengambil masa yang lama kerana kumpulan pengambilan pekerja perlu menjalankan dua tugas utama dalam pada tempoh masa berkenaan iaitu perlu jalankan tugasan harian biasa dam perlu menyemak calon-calon yang berpotensi.
Jadi, para calon dinasihatkan untuk sabar menunggu. Dalam masa yang sama, para calon juga boleh cuba untuk mohon kerja ditempat yang lain.
4. Kumpulan Pengambilan Pekerja Akan Menghantar Borang Soal Selidik
Tidak semua syarikat akan menghantar borang soal selidik atau ujian untuk diisi oleh para calon tetapi ianya merupakan situasi biasa yang berlaku dari syarikat-syarikat korporat besar yang sering menerima jumlah bilangan resume yang banyak dalam satu hari untuk satu jawatan.
Oleh itu, borang soal selidik atau ujian ini bertujuan untuk menolong kumpulan pengambilan pekerja bagi mengecilkan lagi bilangan resume dan permohonan yang perlu disemak.
Seteleh anda selesai memohon suatu jawatan, biasanya anda akan menerima satu email yang mengandungi borang soal selidik atau kertas ujian yang perlu diisi.
Soalan yang terdapat dalam kertas ujian tersebut biasanya bergantung kepada jawatan yang dipohon.
Contohnya, ada ujian berkaitan personaliti dan ada juga ujian berkaitan dengan kemahiran teknikal.
Ujian ini dibuat bertujuan untuk meningkatkan lagi peluang syarikat dalam mengambil pekerja yang mempunyai kemahiran dalam jawatan berkenaan.
Dalam peringkat ini, tiada bilangan calon tetap yang akan dipilih oleh para kumpulan pengambilan pekerja.
Dengan kata lain, jika kesemua 20 orang yang dipilih tadi tidak melepasi ujian yang ditetapkan, maka proses pengambilan pekerja perlu diulang semula atau calon yang dipilih mungkin hanya dalam separuh sahaja iaitu 10 orang yang terbaik.
5. Calon-Calon Utama Akan Dihubungi Untuk Sesi Temuduga
Sampai sahaja ke peringkat ini, setiap calon akan mula ditemuduga oleh para majikan serta kumpulan pengambilan pekerja untuk memilih calon yang terbaik.
Setiap syarikat mempunyai kriteria serta proses yang berbeza untuk sesi temuduga. Jadi, anda mungkin akan merasakan pengalaman yang berbeza bagi setiap temuduga yang dihadiri.
Sebagai contoh, ada syarikat yang menjalankan temuduga diatas talian dan ada juga temuduga dijalankan secara berhadapan. Tidak kurang juga, ada syarikat yang menjalankan sesi temuduga diatas talian serta sesi temuduga berhadapan.
Sebagai contoh, kumpulan pengambilan pekerja mungkin akan mengadakan sesi temuduga seramai 10 orang diatas talian. Setelah selesai, mereka akan memilih 4 calon yang terbaik dari 10 orang berkenaan. 4 calon tersebut akan dihubungi sekali lagi untuk ditemuduga secara berhadapan.
Secara amnya, anda berkemungkinan perlu menghadiri sesi temuduga untuk satu jawatan lebih dari satu kali. Jadi, anda perlu sentiasa bersedia untuk menghadiri sesi temuduga apabila dipanggil.
Setelah selesai sesi temuduga berhadapan, sudah tentu, dari 4 orang calon yang terbaik, satu orang akan dipilih untuk mengisi jawatan tersebut.
Rumusan
Secara amnya, setiap syarikat mempunyai proses-proses yang berbeza bagi sesuatu jawatan. Dengan kata lain, ada proses yang dibuat sangat mudah dan singkat dan ada proses yang sangat lama dan kompleks.
Sebelum memohon suatu pekerjaan, pastikan resume anda lengkap dan kemas. Kemudian, sentiasa buat persediaan utnuk sesi temuduga. Dalam masa yang sama, tambahkan lagi ilmu pengetahuan anda dalam bidang berkenaan. Akhir sekali, jangan putus asa jika anda tidak berjaya dalam permohonan kerja yang dibuat.
Itu sahaja dari saya untuk penulisan kali ini. Jika ada apa - apa persoalan, boleh komen dibawah. Saya akan cuba jawab soalan - soalan yang diberikan dengan sebaik mungkin. Sekian, terima kasih.
Tags
Kerja