Latihan industri, pelajar praktikal atau internship merupakan perkataan yang mempunyai istilah yang sama. Secara asasnya, ketiga-tiga perkataan membawa makna yang sama iaitu pelajar universiti yang diberikan latihan di tempat kerja tertentu mengikut aliran pembelajaran.
Bagi pelajar yang akan memulakan latihan industri, sudah tentu ada seribu satu persoalan yang difikiran. Jadi, penulisan kali ini akan membincangkan tentang pengenalan tentang latihan industri yang dikhususkan oleh pelajar universiti.
Saya telah sediakan 22 soalan yang mungkin anda ingin tanya serta jawapan yang lengkap. Jika ada persoalan lain yang ingin saya jawab, boleh komen dibawah.
Penafian : Penulisan dibawah adalah berdasarkan kepada pengalaman saya serta rakan setempat sewaktu pembelajaran yang dibuat. Terdapat kemungkinan yang data-data dibawah akan berubah dari semasa ke semasa.
1. Apa Itu Latihan Industri?
Latihan industri atau internship merupakan latihan kerja yang diberikan kepada pelajar universiti dan seangkatan yang mengikut aliran pembelajaran masing-masing. Secara mudahnya, latihan industri akan memperkenalkan kepada anda tentang dunia pekerjaan yang sebenar.
Sudah tentu ada sebahagian pelajar yang telah merasakan suasana alam pekerjaan seperti kerja sambilan di KFC, McD dan sebagainya selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ataupun semasa cuti semester. Latihan industri pula ingin memperkenalkan tentang suasana kerja mengikut aliran pembelajaran akademik.
Sebagai contoh, jika anda merupakan pelajar aliran perbankan atau kewangan, latihan industri yang dibuat sudah tentu tertumpu kepada syarikat yang berkaitan dengan perbankan atau kewangan seperti bank-bank di Malaysia. Dengan kata lain, anda akan belajar bagaimana suasana serta pengalaman bekerja di bank.
2. Adakah Latihan Industri Wajib Bagi Semua Pelajar?
Ya. Latihan industri merupakan salah satu merit akademik dimana pelajar perlu lulus sebelum bergelar sebagai graduan universiti. Walaubagaimanapun, ada beberapa kes dimana pelajar tidak diwajibkan untuk menjalani latihan industri atas sebab-sebab tertentu.
3. Ada Tak Latihan Industri Di Peringkat Diploma Atau Politeknik?
Ada. Bagi Universiti Teknologi Mara (UiTM), ianya bergantung kepada aliran pembelajaran yang diambil oleh pelajar. Sebagai contoh, pelajar Diploma Sains Komputer diwajibkan untuk menjalankan latihan industri sebelum tamat pembelajaran diploma.
Walaubagaimanapun, pelajar Diploma Sains Matematik tidak perlu menjalankan latihan industri. Dengan kata lain, walaupun kedua-dua berada pada peringkat yang sama tetapi aliran pembelajaran akan menentukan sama ada anda akan menjalankan latihan industri atau tidak.
Bagi pelajar politeknik, latihan industri merupakan merit yang wajib bagi anda untuk lulus, tanpa mengira aliran pembelajaran akademik.
4. Kenapa Wujudnya Latihan Industri?
Latihan industri diwujudkan supaya pelajar dapat mengenali suasana sebenar dunia pekerjaan. Dengan kata lain, pihak universiti tidak mahu pelajar terkapai-kapai atau menjadi rusa masuk kampung apabila sudah tamat belajar dan perlu mencari pekerjaan.
Latihan industri juga bertujuan untuk melatih pelajar untuk menimba pengalaman kerja berdasarkan kepada aliran pembelajaran yang diambil di universiti. Dengan kata lain, anda akan dapat menimba sedikit sebanyak pengalaman berkaitan semasa waktu latihan industri dijalankan.
5. Berapa Lama Tempoh Waktu Latihan Industri?
Tempoh latihan industri bergantung kepada universiti masing-masing. Secara asasnya, setiap universiti mempunyai tempoh latihan industri yang berbeza-beza. Untuk contoh, boleh lihat jadual dibawah. Jadual dibawah adalah berdasarkan dari pengalaman sendiri serta rakan-rakan terbabit.
Universiti | Tempoh Latihan Industri |
---|---|
Universiti Teknologi MARA (UiTM) | 14 minggu |
Universiti Utara Malaysia (UUM) | 6 bulan |
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) | 2 bulan |
Politeknik Malaysia | 2 bulan |
Jika diikutkan dari jadual, Universiti Utara Malaysia (UUM) mempunyai tempoh latihan industri yang paling lama menurut dari pengalaman kawan saya. Jadi, pastikan anda buat tinjaun dan carian maklumat dulu tentang tempat tersebut sebelum mohon.
6. Berapa Kali Latihan Industri Perlu Dijalankan Oleh Setiap Pelajar
Bilangan latihan industri yang perlu dibuat oleh pelajar adalah mengikut kepada aliran pembelajaran yang diambil. Sebagai contoh, bagi majoriti aliran pembelajaran akademik, latihan industri hanya perlu diambil satu kali sahaja.
Bagi pelajar aliran pendidikan, latihan industri biasanya akan dijalankan setiap selang cuti semester. Contohnya, pada cuti semester 1, anda akan cuti seperti biasa. Pada cuti semester 2, akan perlu menjalankan latihan industri di sekolah-sekolah yang dipilih. Pada cuti semester 3 pula, anda akan cuti seperti biasanya dan seterusnya sehingga tamat belajar.
Bagi pelajar aliran perubatan seperti kedoktoran, fisiologi dan sebagainya, latihan industri biasanya dijalankan bagi setiap cuti semester. Dengan kata lain, cuti semester anda akan dihabiskan dihospital sehinggalah anda tamat belajar.
Walaubagaimanapun, tempoh latihan industri sewaktu cuti semester sangat pendek. Jika cuti semester anda adalah 8 minggu, jadi latihan industri anda mungkin hanya 7 minggu sahaja dan baki 1 minggu, anda boleh balik ke kampung.
7. Apa Beza Latihan Industri Dengan Intern?
Tiada beza. Samada anda hendak panggil latihan industri, praktikal atau intern, ianya membawa satu makna asas yang sama.
8. Apa Persediaan Yang Perlu Dibuat Sebelum Menjalani Latihan Industri?
Persediaan yang paling penting sebelum menjalani latihan industri adalah sediakan dokumen yang patut, mohon tempat latihan industri secepat mungkin dan bersedia jika ada temuduga dari tempat yang dipilih.
Untuk tahu dengan lebih lanjut, boleh klik link dibawah.
9. Apa Persediaan Yang Perlu Dibuat Semasa Menjalani Latihan Industri?
Persediaan yang paling penting semasa menjalani latihan industri adalah catatkan segala aktiviti harian yang dibuat, sentiasa kemaskini laporan latihan industri dan ambil gambar yang patut untuk diletakkan dalam laporan.
Untuk tahu dengan lebih lanjut, boleh klik link dibawah.
10. Apa Persediaan Yang Perlu Dibuat Selepas Menjalani Latihan Industri?
Persediaan yang paling penting selepas menjalani latihan industri adalah menyiapkan laporan latihan industri dan mula cari kerja.
Untuk tahu dengan lebih lanjut, boleh klik link dibawah.
11. Adakah Elaun Disediakan Kepada Pelajar Latihan Industri?
Bergantung kepada syarikat terbabit. Ada syarikat menyediakan elaun kepada pelajar latihan industri dan ada syarikat tidak sediakan elaun.
12. Adakah Latihan Industri Mempunyai Gred Penilaian Dalam Bidang Akademik?
Bergantung kepada universiti. Sebagai contoh, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menetapkan ketetapan gred LULUS atau GAGAL sahaja pada gred latihan industri dan merit ini tidak dikira pada CGPA anda. Dengan kata lain, walaupun anda lulus, CGPA anda tetap akan sama seperti semester lepas.
Bagi Universiti Utara Malaysia (UUM) pula, ketetapan gred adalah mengikut merit subjek biasa dan merit ini akan dikira pada CGPA anda. Dengan kata lain, jika anda dapat A dalam latihan industri, sudah tentu CGPA anda akan naik.
13. Adakah Boleh Jika Saya Tak Mahu Sertai Latihan Industri?
Latihan industri memang diwajibkan bagi setiap pelajar yang perlu menjalaninya. Walaubagaimanapun, terdapat pengecualian bagi pelajar yang tidak boleh menyertai latihan industri. Dengan kata lain, anda boleh mohon untuk tidak menyertai atau mengecualikan diri dari menjalani latihan industi jika anda mempunyai sebab yang kukuh.
Jika anda mempunyai sebab yang lemah dan tidak kukuh, pihak universiti tidak akan meluluskan permohonan anda. Pendapat saya, jika diberikan peluang, sertai latihan industri dan belajar perkara baru kecuali anda memang betul-betul tidak dapat menyertainya atas sebab tertentu.
14. Bagaimana Cara Untuk Membuat Permohonan Pengecualian Latihan Industri?
Jika anda mahu membuat permohonan pengecualian latihan industri, jadi anda hanya perlu maklumkan sahaja kepada pensyarah yang bertanggungjawab dalam menguruskan anda.
Anda perlu ingat bahawa anda perlu mempunyai sebab yang sangat kukuh untuk dapatkan pengecualian latihan industri. Jika sebab yang diberikan adalah lemah dan tidak kukuh, kemungkinan besar permohonan anda tidak akan diluluskan.
15. Siapa Yang Akan Menguruskan Saya Sewaktu Saya Menjalankan Latihan Industri?
Tiga orang sahaja yang akan menguruskan anda semasa anda menjalankan latihan industri. Orang yang pertama adalah pensyarah anda. Orang yang kedua adalah penyelia tempat kerja anda. Orang yang ketiga adalah diri anda sendiri. Jika anda mempunyai sebarang masalah, ketiga-tiga orang ini yang perlu anda rujuk.
16. Apakah Jenis Tempat Latihan Industri Yang Boleh Saya Sertai?
Kebiasaannya, pihak universiti tidak meletakkan syarat yang tetap. Cumanya, pihak universiti tidak membenarkan pelajar memilih tempat yang telah disenarai hitam. Antara tempat yang boleh dipilih adalah perbadanan kerajaan, syarikat GLC (Government Linked Company) ataupun syarikat swasta yang lain. Paling penting, syarikat yang dipilih perlu mengikut kepada bidang aliran pembelajaran.
16. Apakah Contoh Tempat Yang Disenarai Hitam Oleh Universiti Untuk Menjalankan Latihan Industri?
Antara tempat yang disenarai hitam adalah syarikat scammer, syarikat yang tiada kelulusan oleh badan Malaysia atau syarikat yang mempunyai rekod buruk dalam perniagaan seperti menindas pekerja.
17. Apakah Kriteria Yang Perlu Saya Pertimbangkan Sebelum Memilih Tempat Latihan Industri?
Antara kriteria yang perlu dipertimbangkan adalah bidang syarikat terbabit, lokasi, pemberian elaun serta kemudahan pengangkutan. Contohnya, jika anda terlibat dalam sains komputer, syarikat tersebut perlu mempunyai bidang bisnes berkaitan dengan programming.
18. Bila Latihan Industri Akan Dijalankan?
Bergantung kepada universiti masing-masing. Kalau Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM), latihan industri dijalankan pada semester akhir. Ada juga universiti yang menjalankan latihan industri dalam pertengahan semester ataupun sewaktu cuti semester.
Bagi bidang berkaitan pendidikan, latihan industri akan dijalankan pada selang cuti setiap semester.
Bagi bidang berkaitan perubatan, latihan industri akan dijalankan pada setiap cuti semester.
19. Boleh Atau Tidak Saya Nak Tukar Tempat Latihan Industri Yang Lain?
Boleh. Anda hanya perlu maklumkan kepada pensyarah anda dan berikan sebab kenapa anda perlu tukar tempat latihan industri ke tempat lain.
20. Boleh Ke Saya Nak Minta Cuti Sewaktu Latihan Industri?
Boleh. Anda hanya perlu maklumkan kepada penyelia anda ditempat kerja dan berikan sebab kenapa anda perlu cuti. Sama ada diluluskan atau tidak, bergantung kepada syarikat tetapi biasanya, syarikat akan luluskan permohonan cuti yang dibuat.
21. Adakah Saya Dibolehkan Untuk Kerja Lebih Masa Jika Disuruh?
Boleh. Seperti yang saya beritahu, latihan industri dibuat bertujuan untuk melatih anda mendapatkan pengalaman kerja buat kali pertama. Mungkin mereka memerlukan pertolongan anda untuk kerja lebih masa dan anda mungkin akan dapat belajar banyak lagi benda baru.
Walaubagaimanapun, jika anda tidak mahu untuk kerja lebih masa, ianya adalah hak anda. Jadi, beritahu kepada penyelia anda yang anda tidak mahu kerja lebih masa dan berikan sebabnya.
22. Adakah Saya Dilindungi Oleh Akta Kerja 1955 Sewaktu Menjalankan Latihan Industri?
Tidak. Pelajar yang menjalankan latihan industri tidak dianggap seperti pekerja. Walaupun begitu, pihak universiti telah menyediakan perjanjian dan garis panduan atau latihan praktikal untuk menolong pelajar dalam menjalankan latihan industri
Pelajar juga boleh buat aduan kepada pihak universiti, Pejabat Tenaga Kerja ataupun Kementerian Tenaga Manusia jika anda disuruh untuk melakukan pelbagai tugas di luar bidang kursus ataupun merasa anda telah menjalankan tugas seperti pekerja syarikat berbanding sebagai pelajar praktikal.
23. Adakah Pensyarah Akan Buat Lawatan Ke Tempat Kerja Anda?
Bergantung. Jika lokasi tempat latihan anda berdekatan dengan tempat tinggal pensyarah terbabit, kemungkinan besar akan ada lawatan dari pensyarah berikut.
Jika lokasi anda jauh dari tempat tinggal pensyarah terbabit seperti lokasi di luar negeri, kemungkinan besar akan ada wakil pensyarah lain yang berdekatan akan melakukan lawatan ataupun tidak ada sebarang lawatan.
Rumusan
Secara asasnya, latihan industri sangat bermanfaat kepada pelajar untuk mengenali dunia kerja mengikut aliran pembelajaran yang dibuat di universiti. Paling penting, pilih syarikat atau tempat yang baik untuk belajar pengalaman tersebut.
Itu sahaja dari saya untuk penulisan kali ini. Jika ada apa - apa persoalan, boleh komen dibawah. Saya akan cuba jawab soalan - soalan yang diberikan dengan sebaik mungkin. Sekian, terima kasih.
Boleh mintak masa practical tu lama tk sebb minimum kerja nk cari 2 tahun pengalaman
BalasPadam